PASIR SALAK: Seorang lelaki lumpuh yang menjadi mekanik motosikal dalam keadaan berbaring di atas katil memohon bantuan kewangan untuk menyiapkan bengkelnya yang terbengkalai.
Mohamad Zulkarnain Mustafa, 29, lumpuh separuh anggota badan ke bawah akibat kemalangan jalan raya empat tahun lalu berkata, dia bercita-cita untuk mempunyai bengkel sendiri dan sudah separuh siap pembinaannya.
Katanya, namun dia tidak cukup modal untuk menyiapkan sepenuhnya bengkel yang dibina berdekatan rumah di Chenderong Balai di sini apabila premis itu masih tidak bumbung dan dinding yang perlu disimen selain bekalan elektrik belum disambung.
“Selama ini saya memperbaiki enjin motosikal di depan rumah sahaja, jadi keadaannya agak sukar sebab itu saya berusaha membina bengkel sendiri yang serba lengkap dan sudah siap separuh.
“Namun saya kekurangan modal untuk menyiapkan sepenuhnya bengkel tersebut, ada beberapa bahagian yang tidak lengkap terutama bumbung dan bekalan elektrik. Saya harap jika ada yang mahu membantu untuk menyiapkan bengkel saya ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, dia memerlukan sebuah bengkel supaya motosikal pelanggan yang hendak diperbaiki dapat disimpan di tempat yang selamat.
“Kerana tiada bengkel, motosikal pelanggan yang diperbaiki hanya diletakkan di luar rumah, keadaan ini membimbangkan saya dan pelanggan, jadi saya harap satu hari nanti saya mempunyai bengkel motosikal sendiri,” katanya.
Mohamad Zulkarnain berkata, keadaan kesihatannya tidak begitu baik sejak kebelakangan ini sehingga sukar untuk bergerak walaupun di atas katil sehingga kadang kala untuk mengesot ke bilik air untuk mandi kerana tidak terdaya. – UTUSAN.










