RAMALLAH: Peneroka haram Israel, yang disokong oleh tentera pendudukan menyerbu beberapa bandar Palestin di Tebing Barat sebagai protes terhadap perjanjian gencatan senjata Gaza yang dilihat secara meluas sebagai kekalahan kepada rejim itu.
Menurut agensi berita WAFA, peneroka haram Israel menyerang kereta warga Palestin sejak semalam dan menutup beberapa jalan utama di Turmus Ayy, Atara, Ein Siniya, Ein Ayoub, Qalqilya, serta Jaba sementara di Sinjil, dua rumah bersama empat kenderaan turut dibakar.
Rakaman yang dikeluarkan di media sosial menunjukkan peneroka Israel membaling batu dan koktel Molotov dalam serbuan mereka.
Tentera Israel juga dilaporkan menghalang rakyat Palestin daripada memasuki atau meninggalkan bandar-bandar di Tebing Barat.
WAFA juga melaporkan, sekumpulan peneroka haram yang dilindungi oleh pasukan keselamatan Israel, berkumpul berhampiran perkampungan Burqa di timur Ramallah dan menabur paku di atas jalan raya untuk merosakkan tayar kenderaan penduduk Palestin yang masuk dan keluar.
“Anggota IDF menubuhkan pusat pemeriksaan tentera dan menutup jalan, menghalang rakyat Palestin daripada memasuki atau meninggalkan bandar, pekan dan kampung di seluruh Tebing Barat yang diduduki.
“Tentera Israel bertindak menutup semua pintu masuk ke Baitulaham, Hebron, Qalqilya, bandar Salfit serta beberapa bandar dan kampung di wilayah Salfit.
“Tentera Israel turut melepaskan peluru hidup dan gas pemedih mata ke arah rakyat Palestin yang cuba mendekati beberapa pusat pemeriksaan tentera,” lapor WAFA.
Pihak berkuasa Palestin (PA) berkata, berpuluh-puluh peneroka Israel menyerang rumah dan perniagaan tempatan dan tiga rumah warga Palestin, sebuah taska dan sebuah kedai pertukangan yang terletak di jalan utama kampung Jinsafut turut dibakar.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata, pegawainya merawat 12 orang yang dipukul oleh peneroka semasa serangan tersebut dengan sembilan lagi turut dirawat kerana terhidu gas beracun selepas tentera Israel menyerbu perkampungan yang diserang peneroka.
Dalam pada itu, Agensi Pertahanan Awam Palestin Gaza berkata, anggotanya sudah menarik keluar 137 mayat penduduk Palestin dari Bawah yang terbunuh dalam serangan Israel dari bawah runtuhan di sekitar Rafah sejak permulaan gencatan senjata.
Dianggarkan lebih 10,000 mayat masih tertimbus di bawah timbunan konkrit runtuhan bangunan di Gaza.
Sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin terbunuh dan lapan lagi cedera akibat tembakan Israel di Rafah walaupun selepas gencatan senjata bermula.
Pejabat kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memetik maklumat daripada pihak berkuasa Israel memaklumkan, sebanyak 915 trak bantuan memasuki Gaza pada Isnin.
Ribuan penduduk Palestin di Gaza dilaporkan sudah pulang ke rumah mereka yang musnah.
” Penduduk Gaza kini menunggu penghantaran makanan dan bantuan perubatan yang sangat diperlukan selepas tentera Israel akhirnya menamatkan pengeboman mereka selama 15 bulan di wilayah yang dikepung,” katanya.-AGENSI











