KUALA SELANGOR: Rondaan keselamatan di sekitar Taman Indusri Alam Jaya, Puncak Alam di sini, perlu dipertingkatkan selepas dikesan menjadi lokasi makmal haram terbesar dadah, minggu lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kawasan perindustrian itu meliputi deretan bangunan kedai dan kilang yang terletak agak terpencil.
Kawasan itu mempunyai beberapa lorong jalan dengan kebanyakan premis menjalankan aktiviti perniagaan seperti besi dan barangan borong.
Penduduk yang mahu dikenali sebagai Abdullah, 60-an berkata dia terkejut mengetahui berita mengenai serbuan polis di kawasan itu.
“Setahu saya, pihak berkuasa sememangnya ada membuat rondaan bagi mengawal keselamatan di sekitar kawasan ini. Saya juga terkejut wujudnya makmal dadah besar di lokasi perindustrian tersebut dan rondaan perlu ditingkatkan lagi,” katanya.
Katanya, perkara berkenaan perlu dibanteras habis-habisan bagi mengekang aktiviti penyalahgunaan dadah daripada berleluasa.
Bagi pekerja swasta kawasan itu yang enggan dikenali, dia turut tidak menyangka lokasi perindustrian tersebut turut menjadi markas aktiviti dadah.
“Saya juga hanya mengetahui perkara ini menerusi laporan berita dan berharap ia dapat dikekang sepenuhnya.
“Kawasan ini terutama kilang tidak banyak yang kosong dan semuanya berdaftar atau mempunyai lesen perniagaan sah,” katanya.
Muka depan akhbar ini melaporkan polis merampas sebanyak 832.9 kilogram dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM118 juta selepas menyerbu sebuah makmal haram terbesar di kawasan itu, Khamis lalu.
Kegiatan pemprosesan dadah itu dipercayai didalangi sindiket antarabangsa sejak bulan lalu dan polis turut membuat serbuan di Desa Park City yang dijadikan tempat menyimpan dadah berkenaan.
Rampasan besar itu merupakan yang kedua selepas kejayaan Kastam Diraja Malaysia menumpaskan sindiket penyeludupan dadah melibatkan 500 kilogram yang bernilai hampir RM700 juta di kawasan sama pada 2019.
Operasi khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman turut memberkas seorang lelaki warga tempatan, 10 lelaki warga Taiwan dan seorang wanita Thailand berusia berusia 20 hingga 50 tahun. Turut dirampas, sebanyak 15 pucuk pistol, satu laras sub mesin gan dan 900 butir peluru.
Difahamkan, sindiket yang mula aktif sejak awal Disember tahun lalu memproses dadah bagi pasaran dalam dan luar negara termasuk Jepun serta Kemboja. – UTUSAN











