PERISTIWA menguruskan proses bersalin seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang bertarung nyawa melahirkan anak menjadi episod mengerikan bagi seorang doktor.
Lebih menyayat hati, kanak-kanak yang bakal bergelar ibu itu akhirnya menemui ajal apabila dia dan bayinya meninggal dunia semasa proses kelahiran.
Sejak peristiwa itu, Dr. D. Dayanandan yang pada ketika itu merupakan pelajar pelatih perubatan di Indonesia bertekad memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk menolak perkahwinan bawah umur yang terlalu berisiko untuk kanak-kanak melalui fasa kehamilan dan melahirkan anak.
Mengimbau semula kejadian beberapa tahun lalu itu, Dayanandan memberitahu, hospital dikejutkan dengan jeritan pesakit kanak-kanak perempuan itu yang dibawa oleh ibunya tanpa ‘suami’.
“Sekumpulan doktor berusaha menyelamatkannya melalui proses pembedahan, namun keadaan bertukar malang apabila dia dan bayinya tidak dapat diselamatkan akibat komplikasi teruk.
“Ini bukan kali pertama perkara seumpama ini berlaku dan pastinya ia bukan kali terakhir.
“Perkahwinan kanak-kanak harus diharamkan. Amalan sebegini hanya ‘merompak’ zaman kanak-kanak mereka dan mendatangkan kesakitan serta trauma kepada badan dan minda mereka,” katanya.
Ketika negara terus membangun dalam era moden hari ini, trend perkahwinan melibatkan kanak-kanak bawah umur masih berlaku, malah semakin meningkat sekali gus mencabuli hak dan menjejaskan masa hadapan golongan tersebut.
Di Malaysia, lebih 26,617 kanak-kanak dan remaja bawah umur dalam kalangan umur 10 hingga 19 tahun di negara ini direkodkan berkahwin dan hamil dalam tempoh antara tahun 2019 hingga tahun lalu.
Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu turut mencatatkan seramai 17,646 kes kehamilan adalah di luar pernikahan, sekali gus merekodkan keseluruhan 44,263 golongan itu sudah pun melalui fasa kehamilan.
Mengikut data UNICEF pula, sekitar 70,000 pengantin muda meninggal dunia setiap tahun akibat komplikasi kehamilan atau melahirkan anak kerana perkahwinan kanak-kanak.
Dr. Dayanandan yang kini bertugas sebagai Pegawai Perubatan di Sarawak yang mana merekodkan kes kehamilan remaja tertinggi di negeri itu giat menjalankan kempen menghentikan perkahwinan bawah umur kerana ia adalah satu penderaan dan satu bentuk ‘hukuman mati’ kepada mereka.
Katanya, kanak-kanak perempuan yang bersalin sebelum umur 15 tahun adalah lima kali lebih berisiko meninggal dunia semasa melahirkan anak berbanding perempuan berumur 20-an.
Tambahan pula, katanya, mereka berkemungkinan tinggi mengalami kesan buruk seperti kematian perinatal atau neonatal dan bayi mereka lebih cenderung untuk dilahirkan pramatang atau kurang berat.
Selain itu, keadaan sedemikian boleh mewujudkan kitaran generasi kemiskinan dan pengantin muda ini pastinya tercicir dari sekolah demi menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu sedangkan mereka sepatutnya berada di sekolah.
“Bagaimana kita boleh menutup mata terhadap perkara ini apabila anak-anak Malaysia sedang ‘dipaksa’ dan dipersiapkan untuk berkahwin?
“Bagaimana kita hanya boleh berdiam diri dalam keadaan zaman kanak-kanak mereka dirampas dan kehidupannya dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab? Pernah berlaku kanak-kanak dirogol, dan perogol itu berunding dengan keluarga untuk mengahwini mangsa kanak-kanak itu. Sangat menyedihkan apabila dia terpaksa berhenti sekolah dan menjadi isteri kepada perogol.
“Saya hanya berharap kita boleh mengharamkan perkahwinan kanak-kanak di seluruh Malaysia daripada membiarkan kelemahan undang-undang ini terbuka untuk kanak-kanak dieksploitasi,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia, Robyn Choi mempersoalkan bagaimana masyarakat boleh melindungi kanak-kanak jika terdapat undang-undang yang yang membenarkan penderaan golongan itu melalui perkahwinan?
Katanya, tanggungjawab melindungi kanak-kanak bukan hanya terletak kepada ibu bapa atau ahli keluarga, tetapi peranan semua lapisan komuniti termasuk guru dan sekolah, agensi penguat kuasa undang-undang, doktor dan penyedia penjagaan kesihatan.-UTUSAN










