Bursa Malaysia berpotensi pulih mencapai sehingga 1,700 mata

Bursa Malaysia berpotensi pulih mencapai sehingga 1,700 mata atau lebih lagi

FBM KLCI mengukuh kepada 1,566.72 mata ketika ditutup pada Jumaat minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengukuhan indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang meningkat dari 1,520 pada sesi pagi ke 1,566 pada penutupan pada Jumaat memberikan harapan baharu kepada pelabur, kata penganalisis.

Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, pergerakan ini menunjukkan potensi sokongan pasaran selepas tempoh kelemahan yang berpanjangan. 

“Bagaimanapun, data terbaharu menunjukkan sokongan kuat di sekitar paras 1,550 yang boleh menjadi tanda asas pemulihan sedang terbentuk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Melihat ke hadapan, beliau berkata, unjuran FBM KLCI bagi 12 bulan akan datang lebih optimis. 

“Bursa Malaysia berpotensi meneruskan pemulihan untuk mencapai paras 1,700 atau lebih tinggi, bergantung kepada kestabilan faktor makroekonomi dan sentimen pelabur. 

“Dalam jangka pendek, prestasi pasaran untuk tempoh tiga hingga enam bulan akan datang dijangka kekal sederhana, dengan paras sokongan utama berada pada 1,550 dan potensi kenaikan hingga 1,650.  

“Sekiranya keadaan ekonomi domestik terus stabil dan terdapat lonjakan keyakinan pelabur, kita mungkin melihat Bursa Malaysia memulakan fasa pemulihan yang lebih kukuh pada separuh kedua tahun ini,” katanya. 

Beliau berkata, FBM KLCI mencatatkan penurunan ketara dalam tempoh enam bulan terakhir, susut daripada paras tertinggi 1,680 pada September 2024 kepada 1,567 pada pertengahan Januari 2025.

Jelasnya, penurunan itu mencerminkan cabaran ekonomi global serta tekanan pasaran domestik yang mempengaruhi prestasi Bursa Malaysia. 

“Dalam tempoh satu tahun, pasaran menunjukkan percubaan pemulihan pada September 2024 apabila FBM KLCI melonjak dari paras 1,480 ke 1,680 pada Januari 2024, namun momentum tersebut tidak bertahan lebih dari tiga bulan.

“Bagi analisis lima tahun pula menunjukkan pasaran masih dalam fasa konsolidasi selepas kenaikan besar pada 2020,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kejatuhan pada minggu lalu banyak didorong oleh faktor luaran yang mana ketidakpastian terhadap dasar monetari di Amerika Syarikat (AS) dan juga dasar ekonomi yang bakal dilaksanakan oleh Presiden AS Donald Trump selepas 20 Januari nanti. 

“Kedudukan ekonomi AS yang kukuh dilihat memberi gambaran bahawa tiada keperluan bagi pihak Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk mengurangkan kadar faedah. 

“Dasar ekonomi Trump seperti kenaikan tarif import dan pengurangan cukai akan menyebabkan kadar inflasi meningkat membawa kepada jangkaan pihak Fed AS tidak akan menurunkan kadar faedah. 

“Bahkan berkemungkinan juga kadar faedah dinaikkan bagi mengekang kenaikan inflasi. Ketidakpastian ini mendorong para pelabur asing untuk menjual pegangan saham di serata global, termasuk Malaysia dan kita perlu fahami dinamika ini,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, dasar ekonomi yang reformis perlu diteruskan dengan berhemah dan pragmatik terutama dari segi penyampaian maklumat serta pelaksanaan yang lancar dan berkesan. 

“Dengan kredibiliti yang baik, sudah pasti ia akan mewujudkan keyakinan bahawa negara boleh mengharungi cabaran ekonomi dengan baik dan menghasilkan pertumbuhan yang berkualiti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×