BEIJING: Korea Utara membuka semula bandar sempadannya kepada pelancong asing bermula kelmarin, selepas lima tahun ditutup susulan penularan pandemik Covid-19.
Korea Utara menutup sempadannya pada awal 2020 untuk mengekang penyebaran wabak dan kemudiannya memperkukuh kawalan di sepanjang sempadan utaranya dengan China bagi menghalang rakyatnya daripada memasuki negara itu secara haram.
Sejak itu, Pyongyang membuka semula sempadan untuk beberapa urusan perdagangan dan delegasi rasmi.
Tahun lepas, Korea Utara membenarkan pelancong dari Russia memasuki negara itu buat kali pertama sejak pandemik melanda.
Menurut beberapa pengendali pelancongan, pelancong asing kini dibenarkan melawat Rason, sebuah bandar zon ekonomi khas (SEZ) di timur laut Korea Utara yang bersempadan dengan China dan Russia.
Agensi pelancongan Young Pioneer Tours yang berpangkalan di China di laman web memaklumkan, Rason dibuka berkuat kuasa serta-merta.
“Berdasarkan maklumat daripada rakan kongsi dan hubungan kami, pelan ini dibuka kepada pelawat dari China dan pelancong asing lain,” menurut agensi itu.
Bagaimanapun, Koryo Tours yang berpangkalan di Beijing menjelaskan baki kawasan lain di Korea Utara masih ditutup kepada pelancong, sementara jadual dan harga bagi lawatan ke Rason masih belum disahkan.
Rason, yang menjadi SEZ pertama Korea Utara pada 1991, merupakan medan ujian untuk pembaharuan ekonomi negara itu.
Ia juga rumah kepada pasaran undang-undang pertama negara itu dan mempunyai sistem visa berbeza daripada kawasan lain di Korea Utara.
Laporan pada Ogos lalu mencadangkan Pyongyang sedang bersiap sedia untuk memulakan semula sektor pelancongan di bandar timur laut Samjiyon, namun pembukaan itu sehingga kini masih belum direalisasikan. – AFP











