SEOUL: Pasukan penyiasat menjumpai bulu burung dan kesan darah pada kedua-dua enjin pesawat Jeju Air yang tergelincir dan meletup di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan 29 Disember lalu.
Pesawat Boeing 737-800 yang berlepas dari Bangkok, Thailand terpaksa melakukan pendaratan cemas sebelum tergelincir dari landasan dan terbakar selepas merempuh penghadang konkrit.
Tragedi tersebut meragut 179 nyawa dan menjadi antara nahas penerbangan terburuk dalam sejarah Korea Selatan.
Difahamkan, hanya dua kru yang berada di bahagian ekor pesawat terselamat.
Empat minit sebelum nahas berlaku, juruterbang sempat melaporkan pelanggaran dengan burung dan mengisytiharkan kecemasan.
Difahamkan, pesawat membuat pusingan semula sebelum cuba melakukan pendaratan di hujung landasan.
Bagaimanapun, dua minit sebelum panggilan kecemasan Mayday, kawalan trafik udara telah memberi amaran kepada juruterbang untuk berhati-hati kerana terdapat aktiviti burung di kawasan tersebut.
Awal bulan ini, pasukan penyiasat melaporkan bahawa bulu burung ditemui pada satu daripada enjin yang berjaya diperoleh dari lokasi nahas dengan rakaman video menunjukkan terdapat perlanggaran dengan burung pada enjin pesawat. – AFP











