Warna-warni dalam budaya India

Warna-warni dalam budaya India

WARNA mampu membangkitkan suasana dan membawa makna yang berbeza dalam budaya kaum India.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA sedia maklum kaum Cina menggemari warna merah pada musim sambutan tahun baharu. Pengantin wanita beragama Kristian sering memakai gaun warna putih. Dalam tradisi Hindu pula, sari putih dikaitkan dengan golongan balu iaitu wanita kematian suami.

Generasi muda sekarang mungkin tidak lagi mahu terikat pada amalan dan kepercayaan nenek moyang berkaitan makna simbolik di sebalik warna pakaian. Akan tetapi, terdapat bukti saintifik yang menghubungkan warna dengan kesan psikologi masyarakat.

Pilihan warna yang digunakan mampu membentuk persepsi, mempengaruhi tingkah laku pelanggan dan membantu pengguna membezakan pelbagai produk dalam pasaran.

Perkara ini berkaitan dengan psikologi warna iaitu kajian tentang bagaimana warna mempengaruhi emosi, sikap dan proses manusia membuat keputusan.

Sekiranya difikirkan, kita sebagai pengguna memang menerima kesan daripada warna pada produk dan iklan. Dalam perbincangan ini, tumpuan saya lebih kepada budaya pemikiran kaum India tetapi masih boleh mewakili psikik masyarakat umum.

Pengguna kaum India sering membuat keputusan pembelian berdasarkan bagaimana skema warna sesebuah jenama memberi kesan kepada emosi, nilai dan latar belakang budaya.

Aspek ini mungkin boleh membantu kita memahami mengapa rakan kaum India tertarik pada barangan tertentu dalam pasaran, sementara kaum lain mungkin tidak menunjukkan minat.

Dengan memilih skema warna sejajar dengan nilai teras perniagaan dan khalayak sasaran, sesuatu jenama dapat menyampaikan mesej diingini dengan lebih berkesan. Peniaga juga mampu membina hubungan lebih dekat dan mesra dengan pelanggan sasaran.

Psikologi warna adalah bidang kajian yang menarik untuk meneroka dan memahami tindak balas emosi dan kognitif dicetuskan pelbagai warna dalam minda masyarakat.

Saya pernah menggunakan pendekatan ini dalam rencana bertajuk Sari: Gambaran peribadi wanita India (Dewan Budaya, November 1996).

Sesungguhnya, warna mampu membangkitkan suasana, mencipta kaitan pengguna dengan produk yang diiklankan, selain mempengaruhi pilihan pelanggan.

Apabila dipilih dengan teliti, warna dapat memperkukuhkan mesej jenama, sejajar dengan emosi khalayak sasaran, bahkan mendorong pelanggan membuat keputusan secara tidak sedar.

Kajian tentang bagaimana warna mempengaruhi persepsi sangat berkait dengan ilmu psikologi dan teknik pemasaran. Maka, apa yang mungkin selama ini kita sangka sekadar ‘kepercayaan karut’ dalam budaya kaum India sebenarnya ada penjelasan saintifik dan data empirikal.

Namun begitu, kejayaan atau kegagalan penggunaan warna untuk menarik perhatian khalayak banyak bergantung kepada faktor budaya, sosial dan individu.

Sebagai contoh, beberapa warna secara universal dikaitkan dengan emosi tertentu. Misalnya, biru sering dikaitkan dengan ketenangan dan rasa mempercayai, manakala merah berkait rapat dengan kecergasan, tenaga dan kegembiraan.

Walau bagaimanapun, dalam konteks komuniti India, simbolisme warna boleh membawa makna berbeza dan kadang-kadang lebih kompleks disebabkan tradisi, budaya, agama, sejarah dan asal usul.

Dalam budaya India, warna merah mewakili semangat, tenaga, kuasa, kemakmuran, cinta, kesuburan, perkahwinan dan upacara suci bernilai positif.

Warna merah mampu membangkitkan emosi. Secara tradisi, merah juga dikaitkan dengan amaran, api, kekayaan, kesuburan, rayuan, cinta dan kecantikan.

Kalau anda menghadiri upacara perkahwinan atau keagamaan Hindu, perhatikan bagaimana warna merah digunakan secara dominan.

Dalam bidang pemasaran pula, warna merah memberi kesan psikologi supaya pelanggan bertindak segera. Pengguna dapat merasakan emosi seronok, bertenaga, bersemangat dan bercita-cita tinggi.

Warna biru pula memberi kesan psikologi dan emosi berkaitan kebolehpercayaan, ketenangan, selamat, profesional, kredibiliti dan integriti.

Itulah juga sebabnya dalam ilmu ikonografi Hindu, Dewa Krishna dan Vishnu digambarkan berkulit biru.

Sebagaimana kita sedari, warna hijau mewakili alam semula jadi, pertumbuhan, kesejahteraan, kemakmuran, pertanian, kesuburan, keamanan, kesihatan, kesejahteraan dan keharmonian.

Psikologi warna hijau biasanya dimanfaatkan syarikat penyedia barangan dan perkhidmatan mesra alam.

Secara umum dan automatik, kita mengaitkan warna kuning dalam budaya Hindu dengan perayaan Thaipusam dan upacara keagamaan. Warna ini juga mendapat tempat khas dalam upacara perkahwinan.

Tanpa kita sedari, kesan psikologi yang dibawa warna kuning ialah kemesraan, optimisme, kegembiraan, pengetahuan, keuntungan, kesucian, kemakmuran dan keagamaan.

Dalam kehidupan seharian, di mana kita berdepan dengan iklan dan pemasaran terancang, warna kuning mampu menarik perhatian, menimbulkan perasaan positif dalam diri, serta memberi inspirasi dan motivasi.

Pada pemerhatian saya, warna kuning digemari Generasi Z dan Generasi Alpha kerana memberi keyakinan diri dan perasaan awet muda. Jika kita lihat, iklan produk dan perkhidmatan berkaitan pendidikan, teknologi dan makanan sering memanfaatkan kesan psikologi warna ini.

Namun begitu, mungkin warna kuning membawa makna berbeza dalam budaya komuniti lain. Sekadar contoh, dalam kalangan orang Perancis, kuning melambangkan perasaan cemburu, pengkhianatan, kelemahan dan percanggahan.

Hal ini disebabkan pada abad ke-10, pintu rumah penjenayah dan pengkhianat dicat kuning sebagai tanda amaran dan penghinaan.

Di negara China pula, warna kuning dikaitkan dengan pornografi. Malah, dalam komuniti Melayu, istilah ‘budaya kuning’ merujuk unsur buruk dan negatif yang membinasakan minda masyarakat.

Warna ungu pula kurang diperkatakan. Sebenarnya, dalam budaya India, ia mewakili kemewahan, kecanggihan, kerohanian dan status tinggi. Hal ini demikian kerana pada zaman dahulu, sukar untuk mendapatkan pewarna ungu.

Maka, ia dianggap eksklusif dan menjadi simbol status bagi raja, permaisuri, pemerintah dan bangsawan. Si pemakai atau pengguna dilihat memiliki aura kemewahan, kuasa dan personaliti unggul.

Dalam tradisi India, warna ungu dikaitkan juga dengan upacara meditasi, mistik, kerohanian dan keagamaan. Maka, ia tetap mempertahankan kedudukan eksklusif dalam rangkaian barangan kepenggunaan.

Putih pula warna yang dikaitkan dengan kedamaian, kesucian, kesederhanaan dan perkabungan.

Dalam perspektif moden pula dikaitkan dengan minimalisme, kebersihan, kecanggihan, keanggunan dan kesederhanaan.

Pakar pengiklanan masa kini bijak menggabungkan putih dengan warna-warna lain untuk membangkitkan imej moden, bersih, sofistikated dan murni.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×