ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mengarahkan siasatan terhadap iklan syarikat penerbangan negara, Pakistan International Airlines (PIA) yang didakwa dikaitkan dengan insiden 11 September 2001.
Iklan tersebut, bertujuan mengumumkan penyambungan semula penerbangan ke Paris, memaparkan imej kapal terbang menghala ke Menara Eiffel dengan kapsyen ‘Paris, kami datang’.
Bagaimanapun, ia menerima kecaman hebat di media sosial kerana dianggap menyerupai imej tragedi serangan 9/11 di Amerika Syarikat (AS).
Imej itu dikongsi oleh PIA di platform media sosial X dan ditonton lebih 21 juta kali.
Kontroversi iklan ini menjadi satu lagi cabaran buat PIA, yang sebelum ini berdepan kerugian kewangan dan usaha kerajaan yang tergendala untuk menswastakan syarikat itu.
Pada November lalu, usaha penswastaan terhenti apabila pembida tunggal menawarkan kurang daripada 12 peratus harga minimum kerajaan, iaitu AS$300 juta (RM1.4 bilion).
PIA kerap terpalit kontroversi, termasuk insiden kakitangannya menyembelih seekor kambing di landasan sebagai usaha membawa tuah pada 2017.
Syarikat penerbangan itu juga pernah dilarang beroperasi di AS dan Britain kerana isu keselamatan.
Namun, penerbangan ke Paris disambung semula selepas Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) menarik balik larangan empat tahun terhadap PIA.
Pakistan mempunyai sejarah berkait dengan tragedi 9/11 di mana Khalid Sheikh Mohammed, individu yang dituduh merancang serangan itu, ditangkap di negara tersebut pada 2003 manakala pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden, pula ditembak mati oleh tentera Amerika Syarikat di Pakistan pada 2011.
Dengan kontroversi yang terus menyelubungi syarikat penerbangan itu, PIA kini berdepan tekanan untuk memulihkan imej serta kewibawaannya di mata dunia. – AGENSI











