WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) yang diketuai Republikan meluluskan rang undang-undang yang menyekat atlet transgender daripada menyertai sukan kanak-kanak perempuan dan wanita.
Perundangan itu akan menghalang pelajar transgender daripada pasukan wanita di mana-mana sekolah atau universiti yang menerima pembiayaan persekutuan.
Dewan memperoleh 218 undi untuk rang undang-undang itu, termasuk dua dari anggota Demokrat.
Rang undang-undang itu mentakrifkan jantina sebagai hanya berdasarkan biologi pembiakan dan genetik seseorang semasa lahir dan menyekat atlet transgender daripada mengambil bahagian dalam aktiviti olahraga yang ditetapkan untuk wanita atau perempuan.
Tetapi penerimaannya oleh Senat dan pengesahan untuk dijadikan undang-undang dijangka bakal melalui jalan sukar.
Republikan menyerang Demokrat dalam isu transgender terutamanya berkaitan belia dan sukan ketika pilihan raya 2024, memanfaatkan perang budaya yang lebih luas terhadap hak LGBTQ.
Golongan transgender merupakan minoriti kecil penduduk namun kehadiran mereka semakin ketara di AS, mencetuskan persoalan mengenai norma dan keadilan jantina dengan ramai kumpulan konservatif bertelagah di sekitar sukan wanita.
“Dewan Republikan sekali lagi membela wanita,” kata Speaker Dewan Rakyat, Mike Johnson dalam satu kenyataan.
Presiden terpilih, Donald Trump telah berikrar untuk menamatkan ‘kegilaan transgender’.
Di Senat, bagaimanapun, Republikan tidak mungkin mendapat cukup sokongan dari Demokrat untuk mengatasi ambang 60 undi dewan atas pada kebanyakan undang-undang.
Kumpulan advokasi Equality California menyelar rang undang-undang itu sebagai satu lagi usaha untuk menafikan maruah dan penghormatan yang patut mereka terima. -AFP










