PUTRAJAYA: Malaysia memohon kuota haji tambahan sebanyak 10,000 orang yang dikemukakan kepada Kerajaan Arab Saudi bagi musim 1446H/2025M.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, permohonan itu disampaikan kepada Menteri Haji dan Umrah, Dr. Tawfig Fawzan Al-Rabiah ketika pertemuan rasmi beliau bersempena dengan Simposium dan Pameran Haji 1446H.
Menurutnya, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi akan mempertimbangkan sewajarnya permohonan tersebut.
“Saya telah mengemukakan permohonan kepada Dr. Tawfig Fawzan. Beliau maklumkan bahawa permohonan ini akan dipertimbangkan sewajarnya oleh kementerian beliau,” katanya di sini semalam.
Pada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin berkenaan menandatangani Memorandum Urusan Haji bersama antara Kerajaan Malaysia pihak Kerajaan Arab Saudi bagi memperkukuhkan lagi kerjasama strategik kedua-dua pihak terutamanya dalam pengurusan haji bagi musim ini.
Memorandum itu melibatkan beberapa persetujuan antaranya jumlah kuota haji rasmi negara sebanyak 31,600 orang selain komitmen Malaysia mematuhi garis panduan dari Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi berkaitan ketibaan dan pergerakan pulang melalui lapangan terbang Madinah dan Jeddah.
Malaysia juga akan menyelesaikan kesemua kontrak bersama pelbagai pihak di Arab Saudi lebih awal bagi memudahkan pengurusan jemaah haji di tanah suci.
Mohd. Na’im berkata, memorandum ini menjadi bukti komitmen kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji (TH) dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada para bakal dhuyufurrahman khusus untuk musim haji kali ini.
“Alhamdulillah, dalam kunjungan rasmi ini kita menjalinkan satu pemeteraian secara rasmi bagi mengukuhkan lagi hubungan akrab yang sekian lama terjalin di antara negara Malaysia dan Arab Saudi.
“Ini adalah salah satu usaha berterusan kerajaan dan TH dalam menambah baik pengurusan jemaah haji negara secara keseluruhan serta membuka peluang meningkatkan kualiti perkhidmatan TH di Tanah Suci melalui kerjasama beberapa pihak di Arab Saudi,” katanya. – UTUSAN










