MANILA : Kerajaan Filipina melahirkan kebimbangan berhubung penghantaran kapal pengawal pantai terbesar China ke dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) negara itu.
Langkah itu disifatkan sebagai tindakan mengancam dan bertujuan menakut-nakutkan nelayan yang beroperasi di kawasan perairan yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Jonathan Malaya berkata, pihaknya terkejut dengan peningkatan agresif yang ditunjukkan oleh Republik Rakyat China menerusi penghantaran kapal yang digelar ‘raksasa’.
“Kami terkejut dengan tindakan agresif yang semakin meningkat oleh China apabila menghantar kapal raksasa ini,” katanya dalam sidang akhbar.
Filipina mengemukakan bantahan rasmi berhubung kehadiran kapal pengawal pantai China 5901 sepanjang 165 meter, yang dikesan 77 batu nautika dari pantai wilayah Zambales, dan menuntut kapal itu segera meninggalkan kawasan EEZ Filipina.
“Ia merupakan tindakan provokatif dan satu peningkatan ketegangan,” kata Malaya sambil menegaskan kehadiran kapal itu sebagai ‘haram’ dan ‘tidak boleh diterima’.
Bagi menangani situasi itu, Pengawal Pantai Filipina telah menghantar dua kapal terbesar mereka untuk mengusir kapal China tersebut.
Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar Negeri China, Guo Jiakun mempertahankan tindakan itu.
Katanya, rondaan dan penguatkuasaan undang-undang oleh pengawal pantai negaranya adalah munasabah, sah dan tidak boleh dipertikaikan.
Ketegangan antara Filipina, yang merupakan sekutu perjanjian Amerika Syarikat dan China meningkat dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, akibat tuntutan bertindih oleh negara Tembok Besar itu di Laut China Selatan.
Pada tahun 2016, tribunal antarabangsa memutuskan tuntutan China ke atas sebahagian besar perairan yang dipertikaikan itu tidak mempunyai asas, namun Beijing menolak keputusan tersebut.
Tuntutan meluas China turut bertindih dengan EEZ Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam kerana kawasan perairan yang menjadi pertikaian itu merupakan laluan strategik dengan nilai perdagangan tahunan mencecah AS$3 trilion (RM13.5 trilion) . -AFP











