TEL AVIV: Hamas dijangka membebaskan 33 tebusan dalam fasa pertama perjanjian gencatan senjata yang sedang dimuktamadkan oleh perunding di Doha, menurut dua pegawai Israel.
Seorang pegawai kanan Israel memaklumkan kebanyakan tebusan dipercayai masih hidup, namun mayat tebusan yang meninggal dunia juga mungkin termasuk dalam pembebasan awal ini.
Hamas dilaporkan masih menahan 94 tebusan yang diculik semasa serangan 7 Oktober 2023, dengan sekurang-kurangnya 34 daripadanya telah meninggal dunia, menurut kerajaan Israel.
Sesi akhir rundingan dijadual berlangsung di Doha, hari ini dan pada hari yang sama, keluarga beberapa tebusan dijemput bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menurut Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang.
Fasa pertama perjanjian ini juga akan menjadi permulaan kepada rundingan untuk fasa kedua yang bertujuan menamatkan perang secara keseluruhan.
Di bawah cadangan terkini, pasukan tentera Israel akan terus ditempatkan di Koridor Philadelphi sepanjang sempadan Mesir-Gaza semasa fasa pertama perjanjian ini.
Israel juga akan mengekalkan zon penampan dalam Gaza, namun saiznya masih menjadi perdebatan antara kedua-dua pihak.
Penduduk Gaza utara akan dibenarkan kembali ke kawasan tersebut, tetapi Israel akan menetapkan ‘susunan keselamatan’ tertentu.
Tahanan Palestin yang didapati bertanggungjawab atas pembunuhan rakyat Israel pula tidak akan dibebaskan ke Tebing Barat, sebaliknya dihantar ke Gaza atau ke luar negara dengan persetujuan pihak asing.
Israel memulakan perang ke atas Hamas di Gaza selepas serangan 7 Oktober 2023 yang meragut 1,200 nyawa dan menyebabkan 250 orang diculik.
Sejak itu, tentera Israel telah menyebabkan sekurang-kurangnya 46,565 rakyat Palestin terkorban di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Palestin, dengan lebih 100,000 lagi cedera. -AGENSI










