Dua kali 'dia' buat hal

Dua kali ‘dia’ buat hal

Mohd Sumali Reduan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertembungan idaman antara Malaysia dan Thailand di Piala Asia Sepak Takraw 2025 akan menjadi kenyataan selepas skuad Gajah Perang itu sah diterima untuk menyertai kejohanan yang dianjurkan buat julung kali itu.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, Thailand pada mulanya tidak dibenarkan menyertai kejohanan berkenaan selepas gagal menepati tarikh akhir penyertaan pada 31 Disember lalu.

Bagaimanapun kata Sumali, kuasa besar sepak takraw Asia itu telah membuat rayuan kepada Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf)  dan diterima untuk beraksi di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 9 hingga 18 Mei ini.

“PSM sudah memberikan amaran keras kepada skuad sepak takraw Thailand berhubung isu kelewatan menghantar penyertaan dalam kejohanan berkenaan. Perkara ini perlu jadi pengajaran dan setiap negara perlu hormati kejohanan yang bakal dianjurkan. 

“Perkara ini kita ambil serius dan sebab itu saya buat kenyataan. Sebelum ini, kita tidak buat apa-apa kenyataan dan untuk makluman, Thailand pernah melakukan kesalahan sama semasa Piala Dunia 2024. 

“Mereka hantar lewat senarai nama itu daripada tarikh yang sudah ditetapkan. Seminggu selepas itu baru hantar dan ini kali kedua berlaku. 

“Saya bagi amaran agar itu untuk ikut masa yang ditetapkan dan tiada keistimewaan buat mana-mana negara. Setiap negara perlu menghormati proses pertandingan peringkat kejohanan masing-masing,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM, semalam.

Sumali berkata, dengan penyertaan Thailand, sebanyak 14 negara akan bersaing dalam empat acara yang dipertandingkan iaitu regu, beregu, berpasukan an juga quadran.

Katanya, PSM optimis skuad negara mampu layak ke pentas akhir dalam empat acara yang dipertandingan dan setiap pemain perlu mengambil serius serta harus memastikan prestasi pasukan berada di tahap terbaik bagi memastikan pada kejohanan itu nanti.

“PSM sasar keempat-empat acara yang dipertandingkan itu layak ke final kerana kita adalah tuan rumah. Jadi kita kena ambil kelebihan itu beraksi di tempat sendiri,”katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×