BALING: Polis menafikan terdapat unsur mistik dalam kes-kes kebakaran rumah dan kenderaan terutamanya motosikal yang berlaku berturut-turut di Kupang, di sini sejak bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Mohd. Azmi Mokhtar berkata, setelah dilakukan siasatan lebih teliti oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mendapati kebakaran berkenaan mempunyai unsur khianat.
“Terdapat sembilan laporan polis yang diterima berkenaan dengan kebakaran rumah dan kenderaan yang berlaku secara berperingkat sejak 24 Disember lalu hingga 2 Januari disyaki mempunyai unsur khianat.
“Daripada sembilan laporan polis yang diterima, terdapat tiga kes melibatkan kebakaran keseluruhan rumah yang musnah sepenuhnya di Kupang iaitu sebuah di Kampung Bukit Terabak, dan dua rumah di Kampung Tanah Periok,” katanya ketika dihubungi semalam..
Menurut Mohd. Azmi, kejadian pertama dilaporkan pada 23 Disember lalu melibatkan kebakaran motosikal di Kampung Pisang, Kupang dan waktu kejadian semua kebakaran itu antara pukul 2 pagi hingga 4 pagi.
Katanya, antara kampung terlibat sama ada kebakaran rumah dan kenderaan adalah di Kampung Pisang, Kampung Bukit Terabak, Kampung Tanah Periok, Kampung Lela, Kampung Hangus, Kampung Charok Kangar dan Kampung Pajak.
“Jumlah kenderaan yang rosak adalah dua kereta dan 11 motosikal. Seramai 13 individu ditahan untuk membantu siasatan namun hanya lapan ditahan untuk siasatan lanjut.
“Seorang daripada suspek disyaki turut terbabit dalam kes pecah tabung masjid di Kuala Ketil dan dua lagi lelaki ditahan kerana disyaki pengedar dadah dan memiliki bahan terlarang itu,” katanya.
Baki lima daripada suspek ditahan itu disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan kesemua mereka yang berusia antara 25 hingga 35 tahun kini disiasat mengikut Seksyen 15(a); Seksyen 39A dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Akhbar ini melaporkan, kebakaran beberapa rumah di Kupang terus menimbulkan misteri dan kegelisahan dalam kalangan penduduk setempat. – UTUSAN











