PETALING JAYA: Pro-Net, anak syarikat kepada pengeluar automotif nasional Proton Holdings Bhd. melanjutkan pakej Power Pack menarik bersama rebat harga sehingga RM4,000 kepada 3,000 pelanggan untuk Proton e.Mas 7.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan 6,000 tempahan kepada para pelanggan layak menikmati tawaran eksklusif.
Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang, permintaan yang luar biasa, mendorong pihaknya melanjutkan tawaran ini supaya lebih ramai rakyat Malaysia dapat merasai Proton e.Mas 7 dan manfaat memiliki kenderaan elektrik (EV).
“Pencapaian ini menunjukkan kepercayaan pelanggan terhadap kami serta kesungguhan mereka untuk bergerak ke arah masa depan yang lebih hijau.
“Kami amat berterima kasih atas sokongan yang diberikan, dan kami komited untuk menjadikan kereta elektrik pertama Malaysia lebih mudah diakses kepada semua,” katanya dalam kenyataan.
Pro-Net berkata, lebih 3,000 tempahan berjaya diperoleh dalam masa kurang daripada sebulan selepas pelancaran penuh Proton e.Mas 7.
“Sebagai EV sulung nasional Malaysia, Proton e.Mas 7 telah menarik perhatian rakyat Malaysia dengan gabungan inovasi, prestasi dan praktikaliti.
“Tawaran yang dilanjutkan ini mengukuhkan komitmen Pro-Net untuk menjadikan mobiliti lestari lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia.
“Pelanggan yang layak untuk lanjutan ini akan menikmati tawaran eksklusif yang sama, termasuk rebat sehingga RM4,000 untuk Proton e.Mas 7,” ujarnya
Selain itu, lima pakej pelancaran akan terus kekal, menawarkan nilai luar biasa kepada pelanggan yang terawal.-UTUSAN










