PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) diarah mengemukakan cadangan penambahbaikan skim perjawatan kakitangan jabatan itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau memberi tanggungjawab itu kepada Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd. Hanafiah Man untuk merealisasikan cadangan penambahbaikan tersebut.
“Menjadi tanggungjawab beliau untuk memperjuangkan nasib seluruh warga Kemas, insya-Allah Ketua Setiausaha, Datuk Muhd. Khair Razman Mohamed Annuar dan saya akan bantu,” katanya ketika berucap sempena Program Pemerkasaan Masyarakat Madani Kemas di sini, semalam.
AUTISME
Ahmad Zahid juga berkata, Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Berkeperluan Khas atau Tabika Autisme di bawah Kemas perlu diperluaskan ke seluruh negara.
Katanya, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha strategik Kemas untuk memperluas akses pendidikan inklusif kepada kanak-kanak yang memerlukan perhatian khas.
“Kita dalam proses pelaksanaan Tabika Autisme yang akan mula beroperasi di Melaka dan saya mahu ia diperluas ke seluruh negara,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Hanafiah berkata, terdapat seramai 9,719 kakitangan Kemas berstatus kontrak dengan 1,072 kakitangan berada dalam Gred S1, 191 kakitangan (Gred S2) dan 8,458 kakitangan berada dalam Gred S5.
Jelasnya, kakitangan yang telah memasuki perkhidmatan tetap setelah melalui tempoh kontrak sekurang-kurangnya 15 tahun pula adalah seramai 4,587 orang.
PENCEN
“Untuk itu, secara asasnya, penambahbaikan yang sedang diteliti adalah untuk membolehkan adanya pergerakan gred perkhidmatan kakitangan khususnya Gred S1 boleh bergerak sehingga ke gred S4 dan S5 pula boleh bergerak hingga ke gred S8. Buat masa ini, majoriti yang berkhidmat melebihi 30 tahun, mereka berpencen dalam gred yang sama,” katanya.
Beliau turut menyentuh soal Jawatan Sementara Kontrak Ke Tetap (JSKT) yang melibatkan tempoh kontrak tidak kurang daripada 15 tahun sebelum melayakkan kakitangan menyertai perkhidmatan tetap.
“Ini menjadikan mereka yang diserap ke jawatan tetap hanya mempunyai tempoh kira-kira 20 tahun sahaja berada dalam skim perkhidmatan berpencen. Hasilnya, ramai yang menerima pencen di bawah RM1,000 kerana faktor tempoh perkhidmatan bertaraf tetap mereka,’’ katanya. – UTUSAN










