Tabika Kemas autisme dirancang di setiap daerah menjelang 2027

Tabika Kemas autisme dirancang di setiap daerah menjelang 2027

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merancang memper­kenalkan Tabika Kemas khas untuk kanak-kanak autisme mu­lai tahun depan bagi memastikan golongan itu mendapat pendidikan awal yang sesuai dan inklusif.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan bekerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam membangunkan modul kurikulum khas untuk pelaksanaan program tersebut.

Katanya, langkah itu merupakan satu transformasi baharu dalam pendidikan awal kanak-kanak selepas kejayaan pelaksanaan Tabika Kemas Pratahfiz sebelum ini.

“Selain peluasan Tabika Kemas Pratahfiz, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pendidikan kanak-kanak autisme.

“Tahun depan, setiap negeri dijangka memiliki sekurang-kurangnya satu Tabika Kemas Autisme,” katanya membahas­kan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat di sini semalam.

Ahmad Zahid berkata, jika peruntukan mencukupi, kerajaan menyasarkan setiap daerah mempunyai satu Tabika Kemas Autisme menjelang 2027 bagi mengurangkan beban kewa­ngan ibu bapa.

“Kos pendidikan anak autisme di institusi lain agak tinggi dan membebankan keluarga, justeru, penubuhan Tabika Kemas Autisme adalah langkah membantu ibu bapa berpendapatan sederhana,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Men­teri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, sistem pendidikan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), diseragamkan melalui pelaksanaan Kurikulum KAFA 2.0 yang bermula sejak 2020.

Katanya, kurikulum baharu itu memberi tumpuan kepada keseimbangan antara pengajaran al-Quran, Fardu Ain, akhlak Islamiah dan jati diri murid, termasuk pengenalan Modul Suaian Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) bagi pelajar pekak, bisu dan masalah pembelajaran.

Zulkifli berkata, kerajaan komited memastikan sistem pen­didikan KAFA terus disela­raskan daripada segi kurikulum, buku teks dan latihan guru agar pendidikan Islam asas kekal berkualiti dan relevan dengan cabaran masa kini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN