Arus air deras sukar baiki ban pecah

Arus air deras sukar baiki ban pecah

PENDUDUK menunjukkan keadaan ban pecah menyebabkan air Sungai Kinta melimpah ke kawasan kebun sawit berdekatan di Kampung Permatang Pelandok di Pasir Salak. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Kejadian ban pecah di Kampung Permatang Pelandok di sini yang menyebabkan air Sungai Kinta melimpah ke kebun sawit berdekatan belum dapat diatasi disebabkan arus deras di kawasan sekitar.

Ketua Kampung Permatang Pelandok, Kamarul Zaman  Kamaruddin berkata, perkara itu sudah berlaku sejak tiga bulan lalu dan sudah diambil maklum oleh pihak yang berkenaan.

Menurutnya, namun setakat ini kerja-kerja untuk menyekat aliran air daripada terus memasuki kebun kelapa sawit penduduk tidak dapat dijalankan kerana arus air terlalu deras di kawasan ban yang pecah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pihak yang berkenaan sudah melawat keadaan ban yang pecah ini dan sedang berusaha untuk memperbaiki bahagian ban yang pecah. 

“Saya difahamkan buat masa ini kerja-kerja memperbaiki ban tidak dapat dilakukan kerana arus air terlalu deras di kawasan ban yang pecah disebabkan paras air sungai masih tinggi. Apabila paras sungai surut, barulah kerja-kerja baik pulih sepenuhnya dapat dijalankan.

“Jika keadaan itu berterusan, mungkin kerja-kerja menyekat air daripada melimpahi tebing ban yang pecah akan dilakukan terlebih dahulu dengan cara menambak guni pasir di kawasan ban yang pecah. Selepas itu mungkin ban konkrit akan dibina,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan pekebun sawit di Kampung Permatang Pelandok dekat sini mengalami kerugian apabila kawasan tanaman mereka dipenuhi air akibat limpahan dari Sungai Kinta disebabkan ban pecah.

Kawasan yang terjejas akibat limpahan air sungai dianggarkan seluas 2,000 ekar yang diusahakan 25 penduduk dan kejadian ban pecah di kampung itu berlaku sejak Oktober lalu menyebabkan mereka tidak dapat mengeluarkan hasil kebun seperti biasa.

Air yang memasuki kebun sawit sukar surut kerana limpahan air dari Sungai Kinta berikutan musim hujan ketika ini dan pekebun bimbang pokok sawit akan rosak jika lama terendam dalam air.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini