Kim Jong Un puji peluru berpandu baharu Korea Utara

Kim Jong Un puji peluru berpandu baharu Korea Utara

PEMIMPIN Korea Utara, Kim Jong Un (tengah) dan anak perempuannya, Ju Ae (kiri) menonton pelancaran peluru berpandu hipersonik di lokasi yang tidak didedahkan di Korea Utara, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PYONGYANG: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menyelia kejayaan ujian peluru berpandu balistik hipersonik jarak sederhana (IRBM) baharu di Pyongyang, semalam.

Media kerajaan KCNA berkata, Kim turut berikrar untuk mempercepatkan keupayaan nuklear dan peluru berpandu negara itu.

Ia adalah pelancaran peluru berpandu pertama Korea Utara sejak 5 November, dan berlaku serentak dengan lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken ke Korea Selatan minggu ini.

Ujian itu dilakukan hanya beberapa minggu sebelum Presiden terpilih AS, Donald Trump kembali ke Rumah Putih pada 20 Januari ini.

Peluru berpandu itu dilancarkan di pinggir Pyongyang dan terbang sejauh 1,500 kilometer dengan 12 kali ganda kelajuan bunyi dan mencapai ketinggian maksimum hampir 100 km sebelum mendarat tepat di sasaran luar pantai timur, kata KCNA.

Bahan komposit gentian karbon baharu digunakan dalam enjin peluru berpandu, dan ia dikatakan boleh menembusi sebarang halangan pertahanan serta berupaya memberikan impak kepada pihak lawan.

Kim dilaporkan memuji peluru berpandu itu sebagai senjata kuat untuk menghadapi ancaman keselamatan yang ditimbulkan oleh musuh dan perubahan dalam persekitaran keselamatan serantau.

“Pembangunan peluru berpandu hipersonik jenis baharu ini bertujuan untuk terus meletakkan penghalang perang nuklear negara pada asas lebih maju dengan menjadikan sistem senjata yang tiada tandingan sebagai asas dalam pencegahan strategik,” kata Kim seperti dilapor KCNA.

Tentera Korea Selatan mengesahkan pelancaran IRBM yang didakwa terbang lebih 1,100 km ke arah timur sebelum jatuh ke dalam laut.

Blinken bersama Menteri Luar Korea Selatan, Cho Tae-yul mengutuk pelancaran terbaharu itu dan memberi amaran mengenai hubungan Korea Utara dengan Moscow, termasuk kerjasama dalam teknologi ruang angkasa serta satelit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×