Kembalikan Wang Kelian seperti dulu

Kembalikan Wang Kelian seperti dulu

PEMBUKAAN semula Wang Kelian, Perlis akan dilaksana selama tiga bulan bagi menilai kesan ekonomi susulan pelaksanaan tersebut. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Sebelum ‘kegilaan’ rakyat Malaysia ke Thailand, Wang Kelian di sini pernah menjadi tumpuan dengan ribuan pengunjung datang ke kawasan berkenaan untuk membeli belah pada hujung minggu.

Pada masa itu, ratusan bas setiap minggu membawa pelancong dari seluruh pelosok negara datang ke zon aliran bebas berkenaan dengan ketika itu juga kegiatan ekonomi penduduk setempat dan negeri begitu rancak.

Namun, selepas zon aliran bebas itu ditutup pada 2015 ekoran isu keselamatan menyaksikan lokasi berkenaan ibarat kawasan mati dengan orang ramai hanya menjadikan ia sebagai laluan untuk ke Thailand.

Zon Aliran Bebas di Wang Kelian mula ditutup pada 1 April 2015 sebagai langkah kawalan pergerakan keluar masuk dan kawalan sempadan bagi menyekat ancaman serta mengekang penyeludupan barangan terlarang.

keadaan lengang di laluan masuk ke zon aliran bebas Wang Kelian di Padang Besar, Perlis.

Keadaan itu, sangat merugikan sekali gus menyaksikan rakyat Malaysia lebih memilih untuk bercuti dan membeli belah di Thailand dengan direkodkan antara 100,000 sehingga 200,000 pelancong Malaysia mengunjungi negara gajah putih itu setiap bulan.

Di Wang Kelian ketika ini, hanya View Point di sini menjadi tumpuan pelancong namun ia sekadar lokasi untuk menyaksikan panorama indah kawasan itu.

Manakala arked niaga Wang Kelian yang mula beroperasi sejak lebih setahun lalu juga sunyi sepi sehingga menyaksikan peniaga seorang demi seorang meninggalkan perniagaan kerana sudah tidak mampu untuk bertahan.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan arked berkenaan mendapati tiada satu pun premis yang beroperasi meskipun kawasan tersebut telah melalui proses penambahbaikan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Sempadan negeri, Izizam Ibrahim berkata, kerajaan Persekutuan diminta mempercepatkan pembukaan semula zon aliran bebas di Wang Kelian.

Katanya, pembukaan semula zon aliran bebas itu adalah bagi merancakkan kembali aktiviti ekonomi dan pelancongan di kawasan berkenaan seperti dahulu di mana Wang Kelian merupakan lokasi yang sangat popular.

Lebih menyedihkan katanya, arkeb niaga Wang Kelian yang dibuka lebih setahun lalu kini suram dengan kebanyakan peniaga sudah tidak mampu bertahan.

“Daripada puluhan peniaga, kini semuanya sudah ‘angkat kaki’ dan yang beroperasi pejabat di situ sahaja. Peniaga di sini tidak bertahan lama sebab tiada sambutan daripada pengunjung.

“Malah ada peniaga buka kedai makan dalam tempoh tiga bulan, selepas itu terpaksa tutup. Jadinya saya nampak aliran bebas ini perlu kembali dibuka bagi menarik kehadiran pengunjung sekali gus menghidupkan kawasan ini dan merancakkan kembali aktiviti ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Katanya, beliau percaya jika zon aliran bebas kembali dibuka, ia juga mampu mengalirkan puluhan juta setahun ke negeri ini.

SEBELUM ‘kegilaan’ rakyat Malaysia ke Thailand, zon aliran Wang Kelian pernah menjadi tumpuan ribuan pengunjung pada hujung minggu sebelum ditutup pada 2015.

“Kita masih menunggu kelulusan pusat untuk buka kembali zon aliran bebas ini. Kalau tidak buka setiap hari pun, nuka dahulu pada hujung minggu dan daripada aspek keselamatan keluar masuk itu boleh dilihat menerusi kaedah bersesuaian,” katanya.

Beliau juga berharap kerajaan melanjutkan tempoh operasi pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar dan Wang Kelian sehingga pukul 12 tengah malam.

Katanya, pada masa ini, ICQS Padang Besar dibuka sehingga 10 malam manakala di Wang Kelian pula sehingga 7 malam.

“Kita juga harap projek naik taraf pos kawalan dan pembinaan blok baharu di ICQS Wang Kelian seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 dapat dilaksanakan tahun depan demi meningkatkan keselesaan petugas keselamatan dan pelancong,” katanya.

Seorang bekas peniaga yang hanya dikenali sebagai Ridzuan, 65, berkata, suasana di Wang Kelian sekitar pertengahan 1990-an sangat meriah dengan deretan gerai bermula dari pintu sempadan hingga ke balai polis Wang Kelian.

Katanya, pasar pagi terutama pada hujung minggu sangat meriah sehingga ada peniaga berada di situ sebelum Subuh dengan lebih 20 bas sehari membawa pelancong.

“Kalau dulu, ketika zon aliran bebas dibuka, kita sentiasa mengharapkan kehadiran pelancong Thailand yang datang membeli barangan di sebelah sempadan Malaysia.

“Jika aktiviti perniagaan di situ berkembang semula, penduduk Wang Kelian juga mendapat tempias ekonomi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×