SEJAK mula dilantik menerajui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Disember, sudah banyak pencapaian dan kejayaan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir kecapi di samping pelbagai rancangan masa depan yang beliau kemukakan.
Peringkat awal lantikan beliau, Dr. Zambry melontarkan pandangan bahawa kita perlu mengetahui tahap sebenar pencapaian pendidikan tinggi negara ini, secara jujur dan terbuka, seterusnya mahukan satu kumpulan pakar ditubuhkan untuk meneliti pencapaian pendidikan tinggi Malaysia.
Dalam ucapan penting sempena Landasan Tahun Baharu KPT 2024 pula Dr. Zambry menyatakan kebimbangan beliau mengenai gejala isomorphic mimicry melalui peniruan yang menjadikan kita kelihatan gah namun hakikat esensinya “sifar”.
Serentak itu, Dr. Zambry menggariskan lima fokus utama untuk penekanan oleh KPT, yang setelah setahun telah berjaya dicapai dengan baik, iaitu
i. Penyediaan bakat terbaik negara;
ii. Pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi;
iii. Pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu;
iv. Pengantarabangsaan pendidikan tinggi; dan
v. Pemantapan ekosistem pemboleh daya
Dr. Zambry juga memperkatakan mengenai keperluan kepada kewujudan ekosistem pendidikan tinggi yang “segar” dan kondusif serta kultivasi dan penerapan higher education capital (HEDCAP) dalam menciptakan kualiti pelajar dan mahasiswa yang bitara.
Antara inisiatif utama bagi melaksanakan gagasan ini ialah penganjuran secara rutin dan berkala program Festival Idea Putrajaya bermula pada 27 hingga 29 November 2024 bagi mengumpulkan kesemua hasil penyelidikan dan maklumat kajian di institusi pendidikan tinggi masing-masing.
Penganjuran festival ini telah menghimpunkan pemimpin, pemikir, pakar, pembuat dasar, ahli akademik, industri dan masyarakat umum dalam satu platform berprestij bagi berkongsi kejayaan negara dengan masyarakat dunia dan merangka masa depan negara melalui The Malaysian Success Stories dan mengangkat Putrajaya sebagai City of Ideas.
Dr. Zambry juga memberi perhatian khusus kepada peningkatan kedudukan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia di peringkat antarabangsa. Melalui program lonjakan IPT, universiti-universiti tempatan digalakkan untuk memperkukuh kolaborasi strategik, menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi dan meningkatkan penerbitan akademik.
Antara langkah-langkah yang diambil ialah memfokuskan kepada penarafan global universiti melalui peningkatan kualiti penyelidikan dan pengajaran, memberikan fleksibiliti kepada kepimpinan IPT untuk melakukan reformasi dalam menangani isu birokrasi serta menambah baik pendekatan akademik melalui penerbitan korpus ilmu yang mengukuhkan tradisi keintelektualan di universiti.
Selain itu, Dr. Zambry memacu inisiatif penyelidikan dengan tumpuan kepada teknologi hijau, kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital. Melalui program My AI Nexus, beliau menetapkan sasaran untuk melahirkan 200,000 pakar AI menjelang 2030, menjadikan Malaysia sebagai hab inovasi serantau.
Antara kejayaan lain Dr. Zambry ialah memberi penekanan kepada pendidikan tinggi yang inklusif dan holistik dengan memastikan akses pendidikan yang adil untuk semua lapisan masyarakat. Antara langkah-langkah yang dilaksanakan ialah menambah biasiswa dan bantuan kewangan untuk pelajar B40 dan M40, meningkatkan infrastruktur di kawasan luar bandar bagi memastikan akses pendidikan tinggi lebih meluas serta memperkukuh program pembelajaran sepanjang hayat, termasuk untuk anggota tentera melalui pendekatan Work Base Learning 2.0.
Dalam usaha meningkatkan kualiti tenaga akademik, Dr. Zambry juga memperkenalkan lebih banyak program penajaan untuk pensyarah melalui program sabatikal dan sub kepakaran. Beliau menyemak semula skim latihan akademik untuk meningkatkan peluang latihan kepada pensyarah selain memastikan kompetensi pensyarah sejajar dengan keperluan teknologi dan pasaran global.
Satu inisiatif baharu Dr. Zambry ialah melaksanakan Jelajah Kampus Madani, iaitu satu inisiatif untuk mendekati IPT dan memahami isu sebenar di peringkat akar umbi. Tujuannya ialah untuk mendengar secara langsung cabaran pelajar, pensyarah dan pentadbir IPT serta menilai keberkesanan dasar yang dilaksanakan di peringkat institusi.
Turut menjadi bualan ialah penganjuran Forum Ilmuwan Malaysia Madani yang merupakan sebuah platform dialog intelektual penting yang telah menghimpunkan para ilmuan, tokoh industri dan pemimpin masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk membincangkan isu-isu kritikal yang dihadapi rakyat Malaysia hari ini untuk membantu kepimpinan negara merangka dasar serta polisi masa hadapan.
Siri-siri forum antara September 2024 hingga Ogos 2025 ini menyentuh isu kritikal dengan tema seperti ‘Mencorak Peralihan Tenaga Yang Mampan Untuk Masa Depan Negara Yang Sejahtera’, ‘Sektor Tenaga sebagai Pemangkin Pertumbuhan Sosioekonomi yang Mampan dan Inklusif’ serta ‘Hala Tuju dan Strategi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025’.
Satu hal lain yang perlu dipuji ialah usaha Dr. Zambry memperkenalkan pendekatan baharu bagi mengatasi isu tahap guna tenaga tidak penuh serta kebolehpasaran graduan di negara ini yang akan dilaksanakan secara kerjasama merentasi pelbagai kementerian bertujuan mewujudkan perangkaan khusus berpandukan keperluan pasaran kerjaya.
Pada masa yang sama, batu aras (milestone) seterusnya KPT di bawah Dr. Zambry ialah untuk merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2025-2035 dengan penegasan bahawa hal ini sedang diperincikan satu jawatankuasa melibatkan pelbagai pihak berasaskan pakar-pakar Malaysia.
Satu lagi visi besar Dr. Zambry ialah untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat penyelidikan universiti Asean dalam persidangan yang akan bermula tahun ini sempena dengan Malaysia menjadi tuan rumah Asean di mana jika ini diterima oleh anggota-anggota negara Asean maka ia akan merupakan satu lonjakan besar kepada kedudukan Malaysia.
Ringkasnya, setahun pentadbiran Dr. Zambry telah membawa perubahan signifikan dalam sektor pendidikan tinggi negara. Dengan dasar yang jelas, inisiatif yang inovatif, dan kerjasama erat antara pelbagai pihak, beliau telah meletakkan asas yang kukuh untuk mencapai aspirasi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Rusdi Omar adalah Dekan di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).










