‘Abang Bezza’ aktif bantu mangsa banjir

‘Abang Bezza’ aktif bantu mangsa banjir

MOHD. Salehuddin Ab. Halim menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Rahmat, Rantau Panjang, Kelantan, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Pengalaman dibantu oleh sukarelawan sewaktu keluarganya ditimpa banjir buruk lebih 30 tahun lalu, mendorong Mohd. Salehuddin Ab. Halim, 40, membantu mang­sa mengalami bencana sama.

Dia yang juga seorang peniaga di Perak berkata, penglibatan bersama kumpulan sukarelawan bermula pada pertengahan 2000 untuk pergi ke kawasan-kawasan yang ditimpa musibah buruk seperti banjir.

Kini, dia masih meneruskan amalan sama meskipun pergi secara berseorangan dengan membawa barangan keperluan yang diberikan orang ramai untuk diagihkan kepada mangsa.

Sejak Oktober 2024 lalu dia sudah tiga bulan menjalankan misi bantuan secara solo di beberapa kawasan bencana seperti Perak, Kedah, Terengganu serta Pahang dan kini menuju ke Rantau Panjang, Kelantan yang baharu kembali dinaiki air.

“Ketika banjir berlaku di Shah Alam pada tahun 1990-an dahulu, saya merupakan antara mangsa banjir. Setiap kali rumah kena banjir. Akan ada sukarelawan datang membantu.

“Saya terharu ketika itu dan bertanyakan bagaimana mahu membalas jasa mereka. Mereka kata saya boleh meneruskan kerja-kerja membantu golongan yang tidak bernasib baik. Sejak itu, saya cuba terlibat dalam membantu orang susah atau mangsa bencana,” katanya.

Terkenal disebabkan kerap menjalankan kerja-kerja bantuan, Mohd. Salehuddin kini turut digelar sebagai ‘Abang Bezza’ kerana sentiasa menggunakan kereta keluaran tempatan itu untuk pergi ke kawasan bencana.

“Bagi menjayakan misi-misi ini, saya menggunakan modal sendiri sebanyak RM3,000. Malah sepanjang misi bantuan, saya hanya tidur dalam kereta saya sahaja,” katanya.

Katanya, beliau bersema­ngat terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan sejak zaman persekolahan lagi sewaktu menyertai program Rakan Muda.

Beliau turut menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perak untuk mengagihkan bantuan kepada golongan susah terutama keluarga miskin yang tidak menerima sebarang bantuan agensi kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×