KOTA TINGGI: Seorang pemuda sanggup meredah banjir setinggi paras pinggang semata-mata memberi makan empat kucingnya yang ditinggalkan di rumah.
Aidil Hakim Ahmad Ramli, 27, berkata, berikutan arahan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gembut, di sini dia terpaksa meninggalkan kucing peliharaanya itu.
“Kawasan ini setiap tahun banjir sebab rendah, namun rumah pusaka nenek ini dibina tinggi dan dalam rumah tidak dinaiki air. Keadaan itu menjadikan ia lokasi selamat untuk kucing saya di tinggalkan di rumah, sementara saya dan adik beradik serta ibu saudara, berlindung di PPS.
“Meskipun kawasan laman rumah naik ke paras pinggang, tetapi dalam rumah air tidak masuk, oleh itu sehari dua kali saya berulang-alik ke sini untuk memberi kucing makan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Gembut, Tanjung Sedili, di sini semalam.
Aidil Hakim yang menetap di rumah itu bersama-sama ibu, adik dan ibu saudaranya berkata, ini adalah kali kedua mereka diarah berpindah akibat banjir tahun lalu.
“Kawasan ini memang kawasan banjir jadi kami tidak panik bahkan memang sudah buat persiapan awal apabila lihat air naik sahaja terus ke PPS,” katanya yang berlindung di PPS selama seminggu atau dua minggu sehingga air betul-betul surut. – UTUSAN











