ISKANDAR PUTERI: Seorang eksekutif pemasaran dan jualan di Singapura hidup dalam ketakutan apabila diganggu scammer yang lagaknya seperti ceti haram atau along apabila rumah dan keretanya disimbah cat merah.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ang, 29, turut mengalami kerugian RM81,878 (SG$25,000) diperdaya individu yang menyamar sebagai wakil syarikat pinjaman berlesen yang berdaftar di republik itu.
Ang berkata, kejadian bermula apabila dia tertarik dengan iklan dalam aplikasi Tik Tok dan meminjam RM26,192 (SG$8,000) daripada syarikat terbabit pada 18 November lalu, namun syarikat tersebut hanya memasukkan wang pendahuluan sebanyak RM2,619 (SG$800) dan dia perlu membayar RM3,930 (SG$1,200) termasuk bunga, setiap kali pembayaran dilakukan ke akaun bank berbeza.
“Sebelum habis bayar ansuran, mereka memasukkan RM1,310 (SG$400) dengan alasan tersalah bank in pada 13 Disember lalu. Saya menolak pinjaman itu dan diminta membayar RM1,637 (SG$500).
“Apabila mendapati ada lebihan bayaran sebanyak RM1,965 saya minta mereka pulangkan semula duit itu, namun mereka beri alasan bahawa saya perlu buka akaun di sebuah bank dengan kos pengaktifan dan penutupan akaun lebih RM13,100 (SG$4,000).
“Segala butiran dan dokumen yang diberikan lengkap seperti daripada bank sebenar. Apabila saya minta segera pulangkan lebihan bayaran itu termasuk duit pengaktifan dan penutupan akaun, mereka meminta saya memindahkan wang lagi RM16,375 (SG$5,000),” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Nusa Bayu, di sini semalam.
Menurut Ang, pihak itu kemudiannya memberitahu terdapat kesilapan dalam sistem bank dan meminta bayaran tambahan RM16,375 (SG$5,000) dan dia menjelaskan bayaran itu.
Namun, kali ini alasan yang diberikan adalah sistem telah ditutup selepas 11 malam dan memintanya membayar bayaran OTP sebanyak (RM16,408 (SG$5,010), namun dia yang berasa tertipu kemudian membuat laporan polis di Singapura.
“Saya menelefon syarikat pinjaman kewangan tersebut dan mereka memaklumkan tidak menyediakan perkhidmatan pembayaran secara dalam talian proses pinjaman dilakukan secara bersemuka sahaja.
“Apabila helah scammer itu terbongkar, mereka menjadi berang dan mengugut mahu membakar rumah saya di Taman Nusa Bayu kerana tidak mempercayainya bahkan telah membuat laporan polis,” katanya sambil memberitahu pihak terbabit bertindak agresif dengan menyimbah cat merah ke kereta dan kediamannya selain meninggalkan nota ugutan pada Ahad lalu.











