SEOUL: Ratusan ribu rakyat Korea Selatan membanjiri pusat bandar Seoul dalam siri terbaharu protes besar-besaran yang mendesak pemecatan Presiden, Yoon Suk Yeol, yang kini digantung tugasnya, sehari selepas Parlimen meluluskan usul pemecatan terhadap pemangkunya, Han Duck Soo.
Menurut penganjur, lebih 500,000 orang menyertai perhimpunan tersebut yang diadakan di tengah-tengah kawalan ketat pihak polis.
Protes ini adalah kemuncak kepada ketegangan politik yang semakin memuncak sejak Suk Yeol gagal dalam usaha mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember lalu.
Pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan muda dilihat menggunakan kayu lampu K-pop sambil berarak bersama kumpulan masyarakat.
‘Penjarakan Yoon Suk Yeol’, laung para penunjuk perasaan yang berarak dari Istana Gyeongbokgung ke daerah beli-belah Myeongdong.
Suasana protes diiringi alunan muzik K-pop dari trak pembesar suara, menambah elemen hiburan dengan mesej politik yang serius.
Semalam, Parlimen yang dikuasai pembangkang memutuskan untuk memecat Duck Soo, selepas beliau didakwa sengaja melengahkan pelantikan tiga hakim mahkamah perlembagaan yang perlu membuat keputusan terhadap masa depan Suk Yeol.
Langkah ini mendapat kritikan hebat daripada parti pemerintah, Parti Kuasa Rakyat, yang memberi amaran pemecatan Duck Soo boleh mencetuskan ‘krisis kewangan kedua’ dan menuduh pembangkang melumpuhkan fungsi kerajaan.
Dalam keadaan luar biasa, Menteri Kewangan merangkap Timbalan Perdana Menteri, Choi Sang Mok, kini menjadi pemimpin interim dengan memegang tiga jawatan tertinggi negara.
Protes kali ini menyaksikan penglibatan besar golongan muda, termasuk pelajar, kumpulan wanita dan aktivis, yang menggunakan kayu lampu K-pop sebagai simbol generasi baharu, berbeza daripada nyalaan lilin semasa protes pemecatan Park Geun Hye pada 2017.
Tinjauan pendapat terbaharu menunjukkan majoriti rakyat Korea Selatan menyokong pemecatan Suk Yeol, terutama selepas cubaan beliau untuk mengisytiharkan undang-undang tentera awal bulan ini.
Langkah itu hanya bertahan enam jam sebelum dibatalkan oleh Parlimen, namun mencetuskan cabaran terbesar kepada demokrasi negara itu sejak 1980-an. -AGENSI










