ASTANA: Pegawai Azerbaijan dan Amerika Syarikat (AS) mendakwa Russia melancarkan sebuah peluru berpandu permukaan-ke-udara sehingga menyebabkan nahas pesawat penumpang Azerbaijan Airlines (AZAL) berhampiran bandar Aktau, Kazakhstan, Rabu lalu.
Dakwaan itu dibuat selepas Kremlin memberi amaran agar tidak membuat sebarang ‘hipotesis’ berkenaan tragedi tersebut.
Siasatan sedang dijalankan dengan laman web prokerajaan Azerbaijan, Caliber, memetik pegawai tanpa nama yang mendakwa pesawat itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu Rusia yang dilancarkan dari sistem pertahanan udara Pantsir-S.
Beberapa pakar penerbangan dan ketenteraan berkata, pesawat tersebut mungkin secara tidak sengaja ditembak oleh sistem pertahanan udara Russia kerana ia terbang di kawasan yang dilaporkan mempunyai aktiviti dron Ukraine.
Bekas Pakar dari Agensi Penyiasatan Kemalangan Udara BEA Perancis berkata, beliau melihat terdapat banyak kerosakan akibat serpihan pada bangkai pesawat tersebut.
Katanya, kerosakan itu mirip dengan insiden Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh oleh peluru berpandu permukaan-ke-udara oleh pemberontak yang disokong Russia di timur Ukraine pada 2014.
Agensi berita Kazakhstan, Kazinform, memetik seorang pendakwa wilayah yang memaklumkan dua kotak hitam pesawat telah ditemukan.
Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev mengisytiharkan Khamis sebagai hari berkabung dan membatalkan lawatan ke Russia untuk sidang kemuncak tidak rasmi Negara-Negara Persekutuan Merdeka (CIS), sebuah kumpulan bekas negara Soviet.
Presiden Russia, Vladimir Putin, turut menghubungi Aliyev melalui telefon dan menyampaikan ucapan takziah berikutan nahas tersebut.
AZERBAIJAN, RUSSIA DIHALANG
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan, Kanat Bozumbayev berkata, agensi penguatkuasaan undang-undang Azerbaijan dan Russia tidak akan dibenarkan terlibat dalam penyiasatan forensik berhubung nahas pesawat berkenaan.
Jelasnya, larangan itu berdasarkan prosedur yang ditetapkan dalam Kod Jenayah Kazakhstan.
Namun, agensi dari kedua-dua negara akan dibenarkan menyertai siasatan umum berhubung insiden itu.
Mengulas punca kejadian, Bozumbayev berkata, pihaknya belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada Baku atau Moscow.
“Laporan media berdasarkan maklumat daripada sumber kerajaan.
“Kami sentiasa berhubung dengan rakan dari Azerbaijan, tetapi setakat ini tiada maklumat rasmi diterima dari Russia atau Azerbaijan. Oleh itu, tiada asas untuk menafikan mana-mana versi,” katanya.
Khamis lalu, pegawai kanan Azerbaijan mengesahkan kepada Anadolu laporan media yang menyatakan nahas itu berpunca daripada sistem peluru berpandu Russia adalah sahih.
Media Azerbaijan sebelum ini melaporkan, berdasarkan sumber kerajaan hasil awal siasatan menunjukkan pesawat itu diserang oleh sistem peluru berpandu Pantsir ketika menghampiri bandar Grozny.
Bagaimanapun, Azerbaijan Airlines dan Agensi Pengangkutan Udara Persekutuan Rusia memaklumkan hasil siasatan awal menunjukkan nahas berpunca daripada pelanggaran dengan burung.
Namun, rakaman dari lokasi nahas menunjukkan terdapat lubang besar pada bahagian ekor pesawat, sekali gus mencetuskan spekulasi pesawat itu mungkin ditembak jatuh.
Penerbangan AZAL yang membawa 67 orang penumpang dan anak kapal yang berlepas dari Baku terhempas kira-kira tiga kilometer dari Aktau, yang terletak di pesisir Laut Caspian, Rabu lalu.
Nahas menyebabkan seramai 38 orang terkorban dalam pesawat Embraer 190 itu, manakala 29 lagi terselamat.-AFP











