PETALING JAYA: Selepas beberapa hari sah bergelar suami isteri, pasangan sejoli, Bella Astillah dan Syed Saddiq terus menjadi sorotan setiap kali berkongsi cebisan kehidupan peribadi kepada umum setelah mendirikan rumah tangga.
Bagai dunia milik mereka, kemesraan pasangan itu juga jelas terpancar apabila melihat Ahli Parlimen Muar tersebut membahagiakan Bella serta anak-anaknya, Mohamed Ayden Adrean dan Ara Adreanna biarpun hanya melakukan sekecil-kecil perkara.
Terbaharu, Syed Saddiq tampil berkongsi momen manis dirinya mendukung isteri tercinta serta dua anak tirinya selepas selesai menghadiri persidangan di Parlimen.
“Balik Parlimen, terus buat ujian kecerdasan versi keluarga,” katanya di Instagram.
Menerusi ruangan komen perkongsian tersebut, rata-rata pengikutnya turut tercuit melihat gaya Ahli Parlimen itu meluangkan masa bersama keluarga tercinta biarpun terikat dengan komitmen kerja selepas tiga hari berkahwin.
Dalam masa sama, ada juga yang meluahkan rasa lega melihat kegembiraan yang jelas terpancar pada raut wajah Bella dan anak-anaknya selepas di dampingi Syed Saddiq.
“Lipatlah bumi ini menjadi rata,” komen seorang netizen.
“Semoga makin bersinar kebahagiaan buat keluarga ini,” tulis seorang pemilik akaun.
“Syed Saddiq dan Bella Astillah ambillah bumi ini. Kami sebagai peminat belum habis tersenyum lagi. Saya seronok untuk Bella. Seorang wanita bahagia, seluruh wanita tumpang bahagia,” komen peminatnya.
Pada Sabtu lalu, Bella sekali lagi menamatkan zaman solo dengan lelaki pilihannya, Syed Saddiq dalam sebuah majlis pernikahan di Menara Merdeka 118.










