KUANTAN: Balu dan bekas isteri Allahyarham Mejar Mohd. Zahir Armaya enggan bersua muka untuk berbincang isu insurans kelompok yang masih menjadi pertikaian.
Bekas isteri, Jamilah Ismail, 42, berkata, tiada keperluan untuknya bertemu balu Allahyarham, Nour Shafinar Harun, 36, berhubung tuntutan dua anak lelakinya, Mohamad Remy Iskandar, 13, dan Mohamad Ebel Zulkarnain, 14.
“Bagi saya, memang saya tak nak jumpa dia kerana tiada keperluan pun bertemu dengannya.
“Jika hendak jumpa juga, datang sendiri berjumpa saya dan sediakan segala bukti dan dokumen yang menyatakan insurans kelompok arwah memang dihibahkan sepenuhnya kepadanya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Selasa lalu, Jamilah ketika bercakap kepada akhbar ini mendakwa, biarpun empat tahun berlalu, dua anaknya masih lagi dinafikan hak duit insurans kelompok berjumlah RM274,000 yang didakwa dibayar syarikat insurans kepada Allahyarham Mejar Mohd. Zahir.
Allahyarham yang merupakan anak kepada pelakon dan pengarah veteran, A.R. Badul adalah Komando di Kem Sungai Udang, Melaka yang meninggal dunia akibat tertembak ketika membuat aksi gimik sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah.
Jamilah, 42, mendakwa, daripada jumlah tersebut, dia dimaklumkan Mohamad Remy Iskandar dan Mohamad Ebel Zulkarnain layak menerima lebih RM64,000.
Susulan itu, Nour Shafinar bagaimanapun mendakwa, insurans kelompok Allahyarham adalah hibah ataupun hadiah kepadanya.
“Ia insurans tentera, ia bukan insurans biasa. Semua anggota tentera wajib ambil, ia bukan insurans takaful, ia insurans hibah. Jelas ditulis ia pemberian kepada saya 100 peratus, bukan penama seperti mana didakwa,” dakwa Nour Shafinar kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Nour Shafinar juga enggan bertemu dengan Jamilah bagi berbincang dan menyelesaikan isu tuntutan insurans tersebut.
“Tak perlu jumpa, bekas isteri boleh dapatkan segala maklumat dan kemusykilan dari pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.











