Rosak pendidikan, akan rosaklah bangsa dan tamadun

Rosak pendidikan, akan rosaklah bangsa dan tamadun

APA jua keputusan atau perubahan dalam isu pendidikan perlu dilakukan berhati-hati kerana ia memberi kesan jangka masa panjang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDIDIKAN adalah satu persoalan besar dalam kekuatan dan pembinaan sesebuah bangsa. Rosak dan lemahnya sistem pendidikan akan memberikan kesan yang besar kepada kekuatan tamadun sesebuah negara bangsa. Ia tidak dapat dilihat dalam jangka masa singkat dan dengan jelas dalam bentuk fizikal nyata.

Peribahasa Cina menyatakan tidak perlu serangan fizikal untuk memusnahkan sesebuah bangsa dan tamadun. Dengan meruntuhkan dan melemahkan sistem pendidikan sudah cukup dan mampu melemahkan sesebuah bangsa mahupun tamadunnya.

Jadi isu pendidikan perlu dijadikan agenda besar dalam mengekal dan membina sesebuah tamadun. Tamaddun besar Umayyah, Abbasiyah dan Andalusia bangkit dengan berlakunya kebangkitan besar ilmu serta peranan sarjana besar ilmuwan.

Ke mana arah pendidikan kita kini? Apakah perkembangan yang berlaku semata-mata berasaskan falsafah kepentingan ilmu dan kesarjanaan secara mutlak atau ada kepentingan lain yang bercanggah dengan kepentingan ilmu? Adakah kepentingan unsur-unsur ‘komersial” mula menyerap masuk dan dalam beberapa keadaan mengetepikan tanpa sedar kepentingan ilmu yang secara mutlak?

Kita tidak menafikan pendidikan perlu berlaku penyesuaian dengan keadaan dan perkembangan semasa, tetapi perlu berpegang pada asas utamanya.

Adakah perjalanan sistem pendidikan dari peringkat rendah, menengah dan universiti (serta pascasarjana) benar-benar berpaksikan ilmu? Adakah wajar dan tepat pendidikan rendah, menengah dan universiti ditadbir oleh kementerian yang berbeza? Adakah semua keputusan pendidikan ditentukan oleh satu penyelidikan secara benar-benar terperinci dan mendalam? Adakah setiap keputusan tidak bercanggah dengan prinsip dan falsafah ilmu serta pendidikan sebenar?

Keadaan sudah banyak berubah, tidak seperti sebelum 1990-an. Ia termasuk perubahan persekitaran dan pendidikan, namun adakah situasi ini selari dengan prinsip asas pendidikan dan asas ilmu? Adakah guru atau pensyarah tidak lari daripada tugas sebenar berasaskan falsafah pendidikan? Adakah tidak berlaku ‘krisis identiti’ dalam kalangan guru dan pensyarah? Adakah guru menjalankan tugas berasaskan tugas utama atau ada tugas lain yang dibebani?

Begitu juga dengan pensyarah di peringkat pengajian tinggi. Tugas utamanya adalah mengembangkan ilmu asas yang diperoleh di peringkat rendah dan menengah ke peringkat yang lebih tinggi. Pensyarah universiti perlu lebih banyak meneroka dan melakukan penyelidikan dalam bidangnya tanpa gangguan tugas-tugas lain yang remeh serta bercanggah dengan falsafah pengajian tinggi. Ini mesti dilakukan secara berterusan bagi memastikan mahasiswa yang dididiknya mencapai tahap pengajian universiti.

Unsur-unsur sekolah menengah perlu dielakkan di universiti. Perbezaan pendidikan antara sekolah menengah dan universiti perlu benar-benar jelas. Pihak pentadbiran perlu memastikan setiap yang berlaku di universiti berasaskan falsafah pengajian tinggi.

Pentadbiran universiti khususnya bahagian akademik yang diketuai Timbalan Naib Canselor (TNC) perlu jelas tentang hal ini. Seseorang TNC akademik dan dekan fakulti mesti tegas dan tidak hanya mengikut arahan tanpa memahami falsafah sebenar pendidikan tinggi. Kuliah disampaikan mesti bermutu dan mempunyai nilai ilmu yang sepatutnya. Apa yang disampaikan (ketika ini) sekadar maklumat tanpa nilai analisis dan ilmu yang sepatutnya.

DUA KEMENTERIAN BERBEZA
Tidak semua negara memisahkan dua kementerian bagi mentadbir pendidikan rendah, menengah dan pendidikan tinggi. Perubahan pemisahan kementerian hanya bermula ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri pada 2003. Sebelum itu pendidikan tinggi diuruskan Jabatan Pengajian Tinggi.

Sebenarnya pentadbiran universiti tidaklah benar-benar perlu ditadbir dan dikawal oleh sebuah kementerian khusus sebaliknya jabatan tertentu sudah memadai. Peranan naib canselor yang benar-benar berkebolehan sudah cukup memadai.

Perjalanan dan pencapaian universiti kita sebelum ini diakui dan diiktiraf oleh dunia antarabangsa tanpa adanya kementerian pengajian tinggi yang khusus. Universiti-universiti di dalam negara terkenal ke seluruh United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

Kerana itu, peranan naib canselor dan falsafah sebenar pengajian tinggi itu yang perlu lebih diutamakan. Polisi yang bersifat arahan dari atas tidak semuanya baik. Sesebuah universiti perlu ada asas dan falsafah tersendiri yang terbina dari dalam bukan bersifat arahan daripada pihak luar yang mempunyai kuasa.

PENYELIDIKAN
Adakah semua keputusan pendidikan ditentukan melalui penyelidikan secara benar-benar terperinci dan mendalam sebelum sesuatu keputusan di buat atau hanya ditentukan oleh kuasa politik atau kementerian yang berkuasa? Ini perlu difikirkan bersama demi kebaikan menyeluruh bersifat jangka panjang.

Sebagai contoh adakah keputusan memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Tingkatan Tiga (PT3) yang dilakukan Menteri Pendidikan sebelum ini benar-benar melalui satu proses tepat atau lebih kepada keputusan menteri?

Kita tidak juga menafikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sekolah itu ada baiknya, tetapi adakah sudah sesuai masanya dan kita telah benar-benar bersedia? Kalau ternyata ia satu keputusan yang kurang tepat, berubah dan kembalilah kepada keadaan asal. Sesuatu keputusan jangan dilakukan tanpa kajian yang benar-benar teliti. Kesan buruk akan berlaku kepada anak-anak dan generasi kita, khususnya dalam jangka panjang.

Keputusan yang benar-benar tepat sangat perlu. Sebarang perubahan dan dasar baharu perlu melalui satu proses dan kajian yang mendalam. Jangan sekali-kali menggunakan kuasa dan keputusan yang bersifat ‘top-down’ semata-mata.

Unsur dan proses ‘bottom-up’ perlu juga dilakukan. Sesuatu keputusan pendidikan kesannya adalah menyeluruh. Kesilapan sesuatu dasar tidak boleh dilihat dalam sehari-dua, tetapi kesannya adalah tersirap dan memberikan kesan jangka panjang.

Berhati-hati dalam sebarang perubahan isu pendidikan. Rosaknya pendidikan, rosaklah bangsa dan tamadun.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Kluster Pembangunan dan Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BoeIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×