MESKIPUN terpaksa membatalkan dua daripada tiga pulau buatan di bawah projek Pulau Pinang Selatan (PSI) iaitu Pulau B dan Pulau C pertengahan tahun lalu, namun Kerajaan Pulau Pinang nyata masih komited untuk meneruskan agenda mereka dalam membangunkan negeri itu.
Kini, tumpuan diberi kepada projek pembangunan di Pulau A atau lebih dikenali sebagai Pulau Silikon yang berkeluasan kira-kira 931 hektar iaitu kurang separuh daripada keluasan asal yang dirancang, kira-kira 1,821 hektar sebelum ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC), Datuk Seri Farizan Darus, selaku pengendali projek, setakat ini, kira-kira 28 hektar daripada keseluruhan kawasan pulau yang dirancang itu telah ditebus guna.
Katanya, daripada tanah yang telah ditebus guna itu pula, sebanyak 2.4 hektar disediakan untuk depoh bagi kerja-kerja pembangunan sistem Transit Aliran Ringan (LRT ) manakala kerja tebus guna untuk baki kawasan depoh akan diteruskan seperti dirancang bagi memenuhi jadual penyerahan.
“Mulai 2025, kami menyasarkan kadar tebus guna sebanyak 300 hingga 400 ekar (121.4 hingga 161.8 hektar) setiap tahun,” katanya ketika mengetuai lawatan pengamal media ke Pulau Silikon, baru-baru ini.
Terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari jeti persendirian berhampiran Southbay, Batu Maung iaitu hampir 18 kilometer (km) dari pusat bandar George Town di sini, Pulau Silikon sebenarnya bukan sahaja menawarkan keindahan kawasan taman berteknologi hijau kepada warganya, tetapi juga kawasan penempatan moden yang dilengkapi taman rekreasi serta pusat pelancongan yang menarik untuk pengunjung.
Lokasinya juga strategik iaitu berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Jambatan Pertama dan Kedua Pulau Pinang serta berada tidak jauh dari kawasan Industri Bebas Bayan Lepas atau Silicon Valley of The East yang popular dalam kalangan pelabur asing.
Ketika ini, satu jambatan besi sementara yang menghubungkan Pulau Silikon dengan kawasan pulau di Pulau Pinang sedang dibina dan ia dijangka siap menjelang Mac tahun hadapan.
Jambatan sementara itu bukan sahaja memudahkan akses logistik bagi kerja-kerja infrastruktur di tapak yang sedang rancak berjalan ketika ini, malah, ia juga boleh digunakan sebagai laluan kerja-kerja pembinaan di pulau buatan itu sehingga jambatan kekal dibuka bagi kegunaan awam.
Menurut Farizan, jambatan kekal empat lorong sehala akan disiapkan dalam dua fasa iaitu fasa pertama menjelang pertengahan 2027 manakala fasa kedua pula akan siap sepenuhnya menjelang akhir 2028 nanti.
Dalam pada itu, meskipun PIC dilihat berdepan dengan pelbagai kekangan sejak cadangan pembangunan projek pulau terbabit diuar-uarkan beberapa tahun lalu, tetapi perkembangan terkini projek pembangunan Pulau Silikon menunjukkan keadaan yang sebaliknya berlaku.
Justeru, bagi memenangi hati rakyat khususnya, antara isu yang dititikberatkan sejak projek tersebut dimulakan ialah kebajikan para nelayan di kawasan sekitar pembangunan projek berimpak tinggi itu.
Mengikut data terkini yang dikeluarkan PIC, seramai 722 daripada 877 nelayan yang mendaftar di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) untuk projek berkenaan menerima 100 peratus bayaran ex gratia (skim bayaran pampasan) manakala selebihnya pula melibatkan mereka yang sedang memperbaharui dokumen, telah meninggal dunia atau tidak aktif.
Pada masa sama, kesemua 77 tekong yang layak dari unit Permatang Tepi Laut juga telah menerima bot serta enjin baharu dan fasa pengagihan bantuan itu seterusnya akan melibatkan tekong aktif lain dari Sungai Batu, Gertak Sanggul dan Teluk Kumbar.
Selain isu kebajikan, isu pencemaran terutamanya melibatkan ‘permata tersembunyi’ popular di Pulau Pinang iaitu Pulau Esen yang dikatakan berpunca daripada projek pembangunan Pulau Silikon juga pernah tular hingga mengundang persepsi negatif daripada sesetengah pihak khususnya aktivis alam sekitar serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan terhadap projek terbabit.
TIADA KAITAN DENGAN ISU PENCEMARAN
Pun begitu, PIC dilihat tidak mudah ‘melatah’ dengan isu ini dan telah berusaha sehabis baik untuk menangani isu ini dengan membetulkan persepsi serta tanggapan negatif yang timbul ekoran projek berkenaan.
Jelas Farizan, sehingga kini, masih belum ada bukti yang boleh mengaitkan isu pencemaran termasuk masalah selut tebal yang berlaku di Pantai Esen sebagai berpunca atau kesan daripada projek pembangunan Pulau Silikon.
“Bagaimanapun, kita tetap cakna akan isu ini dan telah mengambil tindakan bermula 24 Oktober lalu. Yang pertama, (penyelesaian) jangka pendeknya ialah kita telah membuat pembersihan. Selain itu, kita juga telah melantik perunding dan pakar hidraulik untuk mencari punca kepada masalah ini.
“Untuk jangka panjang pula dan andai diperlukan nanti, kita akan lakukan kerja-kerja pendalaman sebagaimana yang disyaratkan dalam EIA (Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling). Namun, buat masa sekarang, belum ada lagi (kerja-kerja pendalaman dibuat).
“Walaupun pelbagai fakta dikatakan (pencemaran) sebagai berpunca daripada projek ini, tetapi, dari segi saintifiknya, ia belum dapat dibuktikan lagi,” jelas Farizan yang memaklumkan, selain PIC, sampel kawasan yang tercemar itu turut diambil oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan untuk dianalisis.
Tambah beliau, berdasarkan laporan awal yang diperoleh dari makmal swasta, kejadian itu dipercayai disebabkan oleh kehadiran alga dan bukannya berpunca daripada daripada projek pembangunan Pulau Silikon.
Jelas di sini bahawa, pembangunan Pulau Silikon kini berada pada landasan yang betul dalam usahanya untuk menjadi ‘ejen’ yang akan memacu ekonomi Pulau Pinang serta ekonomi negara secara amnya.
Entah mengapa masih terngiang-ngiang butir kata daripada Farizan ketika tiba di pulau itu bersama sekumpulan pengamal media tempoh hari.
“Silicon Island (Pulau Silikon) ini bukan ‘fantasy island’ (pulau fantasi) ya. Ini ‘real’ (betul) punya,” katanya dengan nada berseloroh, tetaapi, penuh makna.-UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Pulau Pinang.










