Musibah, penyakit penghapus dosa

Musibah, penyakit penghapus dosa

MOHD ZULKHAIRI NGAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUSIBAH menimpa setiap manusia di dunia ini adalah ujian dan ketentuan yang ditetapkan oleh Allah SWT untuk semua hamba-Nya.

Selagi masih hidup, ujian dalam pelbagai bentuk pasti mendatangi manusia dan tiada seorang pun yang mampu mengelak daripada menghadapinya.

Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Negeri Terengganu (DUAT), Mohd. Zulkhairi Ngah berkata, Imam al-Qurthubi menjelaskan bahawa musibah merujuk kepada apa-apa sahaja perkara yang menyakitkan dan menimpa diri seseorang atau sesuatu yang berbahaya serta menyusahkan manusia meskipun ia adalah perkara kecil.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mutakhir ini, kelihatan musibah banyak berlaku di depan mata kita semua sama ada peperangan sebagaimana yang berlaku di Palestin dan di negara di Asia Barat.

“Di Malaysia, beberapa negeri pula telah dilanda banjir termasuk Terengganu, Kelantan, Perak dan Johor,” katanya.

Mohd. Zulkhairi Ngah
Umur: 44 tahun
Asal: Padang Midin, Terengganu
PENDIDIKAN
 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Durian Guling, Terengganu (SPM)
Diploma Pengurusan Sumber Manusia (Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin)
 Ijazah Pengajian Islam University of Science and Technology, Sana’a,

 

Menurut Mohd. Zulkhairi, antara hikmah terbesar di sebalik musibah yang menimpa seseorang adalah dihapuskan dosa-dosanya dan diberi ganjaran pahala sehingga dia mendapat syurga.

Nabi Muhammad SAW telah bersabda: Maksudnya: “Sesungguhnya pahala yang besar bersama ujian yang besar dan apabila Allah mencintai seseorang, Dia memberi ujian kepadanya, siapa yang reda maka Allah reda padanya dan siapa yang murka maka Allah murka padanya.” (Hadis Hasan Sahih, Riwayat Al-Tirmizi).

Beliau berkata, dalam kehidupan sebagai hamba Allah SWT, keredaan-Nya menjadi tunjang utama dalam menempuhi kehidupan di akhirat kelak.

Justeru, ketika mengharungi ujian dan dugaan dalam mencari reda dan keampunan Allah SWT, sabar adalah perkara yang paling penting.

“Firman Allah SWT dalam surah Hud ayat ke-11: Maksudnya: Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.

“Ayat ini menerangkan bahawa salah satu sifat terpuji yang dimiliki oleh orang beriman adalah kemampuan untuk bersabar dalam menghadapi ujian dan kesusahan.

“Selain itu, mereka juga sentiasa bersyukur atas segala nikmat dan kemudahan yang diberikan oleh Allah SWT. Sifat ini adalah ciri-ciri yang dimiliki oleh sebaik-baik manusia iaitu Nabi Muhammad SAW serta golongan mereka yang beriman dan sentiasa berusaha mencari keredaan Allah SWT,” katanya.

Menurut beliau, terdapat beberapa perkara yang perlu dititikberatkan sepanjang menjalani dan menghadapi musibah banjir, antaranya menjaga hukum hakam yang wajib seperti solat dan selainnya dengan kadar kemampuan.

“Allah SWT berfirman dalam surah At-Taghabun Ayat 16: Maksudnya: Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kadar kemampuan kamu.

“Tunaikanlah kewajipan solat sebaik mungkin tanpa menjadikan banjir sebagai alasan untuk meninggalkannya atau mengabaikan hukum-hakam yang telah diwajibkan,” katanya.

Selain itu, mangsa-mangsa yang ditimpa musibah banjir atau peperangan perlu dibantu tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik dengan segala cara yang termampu.

“Kita tidak boleh sekadar berdiam diri atau mengabaikan keadaan mereka yang sedang diuji dengan musibah banjir atau peperangan.

“Sifat seperti ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Dan Allah akan menolong hambaNya yang menolong saudaranya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Oleh itu, beliau mengingatkan umat Islam supaya terus bersabar apabila menghadapi pelbagai musibah, terutama musibah banjir ini.

“Ingatlah, apabila kita berasakan ujian yang menimpa diri kita begitu berat, masih ada insan lain yang menanggung ujian yang lebih besar daripada kita.

“Oleh itu, perbanyakan rasa syukur kepada Allah SWT dan jangan sesekali memandang rendah terhadap nikmat dan kurniaan-Nya kepada kita.

“Sentiasa kuatkan hati dan bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT. Hindari diri daripada sifat cepat berputus asa, kerana setiap musibah yang berlaku pasti ada hikmahnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini