Kaya, berjaya bukan jaminan bahagia

Kaya, berjaya bukan jaminan bahagia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kecantikan dan kekayaan sering dianggap sebagai faktor utama yang menarik perhatian dalam hubungan.

Namun, apabila bercakap tentang perkahwinan, kebahagiaan tidak semata-mata bergantung kepada rupa atau harta benda.

Sebaliknya, hubungan kukuh terletak pada nilai dalaman, kepercayaan dan usaha bersama untuk menjadikan perkahwinan sebagai tempat yang membahagiakan.

Ada banyak kisah yang membuktikan bahawa kekayaan dan kecantikan tidak menjamin kebahagiaan jika tiada cinta, perhatian dan komunikasi dalam perhubungan.

Minggu ini, saya kongsikan kisah Amelina dan Mustakim, (bukan nama sebenar) salah satu pasangan ideal yang mempunyai pakej lengkap, cantik, kaya dan berjaya.

Walaupun mereka bukan dari golongan artis atau selebriti, perkahwinan mereka tetap menjadi bualan ramai sebagai pasangan ideal.

Ini kerana Amelina dan Mustakim berasal dari dua keluarga berada yang dikenali di negara ini.

Majlis perkahwinan yang diadakan secara besar-besaran di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negara itu bukan sahaja meraikan cinta mereka, bahkan turut menyatukan dua keluarga besar yang sudah lama menjalinkan persahabatan.

Namun, memasuki tahun pertama perkahwinan, hubungan mereka diuji.

Mereka kerap berdepan dengan ketidaksefahaman dalam banyak perkara.

Sehinggalah pada Mac lalu mereka memilih untuk berpisah secara baik.

Pada pertemuan bersama Amelina yang ditemani salah seorang kenalan lama saya baru-baru ini, wanita berusia 29 tahun itu memberitahu dia tidak berniat untuk membuka aib sesiapa mahupun membuka kisah lama.

“Meskipun berpisah, sejujurnya saya masih menyayangi bekas suami, namun jodoh kami setakat itu sahaja. Saya tetap menghormati dan menghargai setiap kenangan yang dikongsi bersama,’’ katanya memulakan perbualan.

Menyingkap hubungan awal antara mereka berdua, kata Amelina, Mustakim adalah lelaki pertama yang dicintai.

Mereka bertemu kali pertama semasa menghadiri program sambutan Aidilfitri yang dianjurkan komuniti pelajar Malaysia semasa menuntut di luar negara.

Mustakim yang ramah dan ceria menarik perhatiannya.

Persahabatan mereka bermula dengan perbualan ringkas dan lama-kelamaan menjadi rapat.

Sikap prihatin dan keserasian yang wujud membawa kepada tumbuhnya bibit-bibit cinta.

Pasangan ini sering menjadi perhatian rakan-rakan. Mereka berdua berasal daripada keluarga kaya, ternama dan sangat serasi dalam banyak perkara.

Mereka dikenali sebagai pasangan ‘belangkas’ kerana sukar dipisahkan dan sentiasa ada untuk satu sama lain.

Setelah tamat pengajian, mereka memutuskan untuk berkahwin dengan persetujuan kedua-dua keluarga.

Mereka dikenali sebagai pasangan sempurna dalam kalangan rakan-rakan.

MULA RETAK

Banyak faktor menjadi punca keretakan dalam hubungan mereka berdua.

“Hubungan kami hanya bahagia di awal-awal perkahwinan, Memasuki tahun pertama, hubungan mulai goyah.

“Kami kerap bergaduh hanya disebabkan perkara-perkara kecil dan lama-kelamaan menyebabkan jurang yang besar antara kami ,” ujar Amelina.

Tambahnya, dia dan Mustakim terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Mustakim banyak menguruskan perniagaan keluarganya sehingga jarang berada di rumah.

Manakala, dia sendiri menumpukan perhatian kepada perniagaannya di media sosial.

Kesibukan itu menyebabkan mereka jarang meluangkan masa bersama, apalagi berbincang secara mendalam tentang perasaan masing-masing.

Setelah hidup bersama, mereka mula menyedari sisi lain masing-masing terutama ego yang ‘tersembunyi’ semasa bercinta.

Dalam banyak hal, mereka tidak sepakat sama ada soal kewangan, perancangan keluarga mahupun pembahagiaan tanggungjawab.

Ternyata kekayaan mereka tidak dapat menggantikan masa yang hilang.

Kata Amelina, ketika itu mereka terlalu fokus untuk mengekalkan imej ‘pasangan sempurna’ di mata masyarakat, tetapi mengabaikan usaha memperbaiki hubungan.

“Kami cuba bertahan untuk beberapa tahun dalam perkahwinan sedangkan pada tahun pertama kami telah merasai tidak sefahaman dan semakin serius memasuki tahun-tahun berikutnya.

“Namun, kami lebih mementingkan pandangan orang luar ketika itu berbanding keperluan emosi sendiri,’ ujar Amelina.

Selepas enam tahun perkahwinan, Amelina dan Mustakim mulai sedia untuk duduk berbincang.

Masing-masing mengakui berasa kosong dalam hubungan lebih-lebih lagi menyesal dengan keputusan tidak memiliki anak dalam perkahwinan.

Mereka sedar, selama ini mereka membiarkan material dan imej luaran mengambil alih perkahwinan mereka.

Walaupun cuba memperbaiki hubungan, ia tidak menyelamatkan rumah tangga mereka.

Amelina dan Mustakim akhirnya memilih untuk berpisah secara baik.

“Saya akui kecantikan, kekayaan mahupun kejayaan tidak bermakna jika hati tidak bahagia. Hubungan memerlukan lebih daripada sekadar harta mahupun status,” kata Amelina lagi.

Menurut Amelina, walaupun berpisah, mereka tetap menghormati satu sama lain dan mengganggap perceraian itu adalah jalan terbaik untuk kebahagiaan masing-masing.

Pengajaran daripada kisah Amelina dan Mustakim ini membuktikan harta benda dan kekayaan boleh memberi keselesaan, tetapi tidak boleh menggantikan perhatian dan cinta yang diperlukan dalam rumah tangga.

Kebahagiaan sebenar datang daripada usaha untuk memahami dan menyayangi pasangan.

“Kecantikan dan kekayaan mungkin membuatkan hidup kelihatan sempurna. Tetapi, tanpa kasih sayang, kepercayaan dan komunikasi , rumah tangga dibina tidak mungkin bahagia.

“Kebahagiaan datang daripada hubungan yang ikhlas, saling menghormati dan saling mempercayai,’’ ujar Amelina.

Sesungguhnya jodoh, pertemuan, ajal maut ditangan Allah SWT.

Setiap sesuatu yang ditakdirkan untuk manusia menjadi rahsiaNya kerana tiada siapa yang mengetahui apa yang berlaku dalam perjalanan hidup masing-masing.

Semua hal itu termasuk dalam ketetapan Allah SWT.

“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung merasa tenteram kepadanya. Dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi kaum yang berfikir,’’-Ar Rum ayat 21.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×