PASIR SALAK: Rutin harian penduduk di Kampung Pulau Juar, Kampung Gajah dekat sini terjejas ekoran banjir termenung di kampung mereka yang tidak menunjukkan tanda surut, sejak tiga minggu lalu.
Banjir termenung di kampung itu melibatkan kira-kira 10 rumah penduduk, apabila kawasan rumah mereka digenangi air yang berwarna hitam dan berbau busuk.
Penduduk, Azizi Mohamad Ali, 50, berkata, ini kejadian kedua kampung itu digenangi banjir termenung dan kali ini paling lama berbanding sebelum ini.
“Jun lalu, kampung ini dilanda banjir namun surut dalam tempoh tidak sampai seminggu namun banjir termenung kali ini yang setinggi paras betis menjejaskan aktiviti harian kerana kami terpaksa meredah air banjir setiap kali hendak keluar rumah.
“Kami tidak tahu sampai bila keadaan ini dan berharap cuaca panas, mempercepatkan banjir ini surut,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Azizi, penduduk juga bimbang banjir termenung mendedahkan mereka kepada penyakit bawaan air seperti gatal kulit, lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini banjir termenung itu mengeluarkan bau busuk dek bangkai haiwan seperti tikus dipercayai dihanyutkan air pasang besar.
“Saya terpaksa memakai kasut getah kalau mahu keluar rumah bagi mengelak terkena air banjir sebab, bimbang air yang lama bertakung boleh membawa penyakit,” jelasnya. – UTUSAN











