Cabaran dan teori penghasilan puisi

Cabaran dan teori penghasilan puisi

SASTERAWAN Negara Datuk Dr. Rahman Shaari ketika mengendalikan bengkel Hidupkan Puisi Dengan Pena di IPGM Bangi baru-baru ini.-FOTO Ihsan DBP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramuan terutama satu karya sastera termasuk puisi tentulah ilham

Secara analogi, tepung ialah bahan utama bagi menghasilkan sekeping roti canai, dan tepung boleh juga digunakan untuk membuat aneka kuih.

Demikian jugalah ilham, yang dapat digunakan untuk penghasilan aneka karya.

Bagaimanapun penghasilan karya sastera tidak semudah menghasilkan roti canai kerana kaedah menghasilkan roti canai adalah stereotaip.

Setiap karya sastera yang baharu dihasilkan tidak menyamai karya yang lepas, manakala roti canai kekal seperti yang lama. Penghasilan karya sastera seperti puisi umpamanya adalah kompleks dan memerlukan daya kreativiti dan imaginasi yang tinggi.

 

Untuk menghasilkan sesebuah puisi, asasnya ialah ilham. Selalunya ilham muncul secara sangat pantas.

Penulis yang cenderung kepada puisi perlu pantas merakam dan menyimpan ilham. Ilham mungkin merupakan idea yang luar biasa, atau perasaan yang tercerna secara rapi. Ilham hendaklah dipelihara dengan baik agar terhasil karya yang cemerlang.

Sasterawan Negara ke-15 Datuk Dr. Rahman Shaari berkongsi ilmu dan pengalaman dalam penghasilan karya puisi menerusi program Bengkel “Hidupkan Puisi dengan Pena” Institut Pendidikan

Guru Malaysia (IPGM) baru-baru ini dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),

Rahman memetik kata-kata penyair terkenal Indonesia Subagio Sastrowaradojo ketika menekankan bahawa ilham yang datang hendaklah dijagai dengan sebaik-baiknya. Penulis perlu merakam ilham secepat yang boleh, kerana seandainya dilambat-lambatkan ilham akan hilang.
Ilham hendaklah dicatatkan dengan segera, laksana meletakkannya di satu tempat selamat. Menjaga ilham diibaratkan memeram mangga hingga ranum. Jika tidak dicatatkan dengan cepat, ilham akan hilang begitu sahaja. Jika akal diperah untuk mendapatkan ilham yang telah pun hilang, idea yang datang itu tidak sama dengan ilham yang asal.

Rahman juga berkongsi kisah tentang peristiwa yang melibatkan proses kreatif beliau sendiri. Beliau rela kehilangan baki tambang teksi kerana terlalu menjaga ilham. Ia berdasarkan peristiwa semasa beliau berusia awal dua puluhan.

 

 

 

 

llham yang tiba di akalnya secara tidak semena-mena menyebabkan beliau menyerahkan RM10 sebagai membayar harga tambang teksi, walaupun tambang sebenar ketika kejadian pada 1970-an itu hanya 70 sen. Beliau bimbang kehilangan ilham yang beliau anggap lebih mahal harganya daripada baki RM9.30 bayaran tambang teksi.

Apabila sampai di hadapan rumahnya, beliau meloncat keluar daripada teksi kerana ingin terus masuk ke rumah mendapatkan pen dan kertas untuk menulis ilham berkenaan.

Baginya, itulah ajaran Subagio, dan itulah yang perlu diamalkan. Ilham yang tiba dengan cepat, akan pergi dengan cepat juga.

Rahman juga menyebutkan deretan kata-kata yang muncul itu. Bunyinya:

Sewaktu aku merangkak perlahan menyusuri pagarmu, hukum tertimpa tanpa amaran.

Akhirnya beliau berjaya menghasilkan puisi tersebut diberi judul ‘Masa‘.

 

 

Pada pertengahan tahun ini, Wan Mohd. Afzam Wan Daud, seorang pengarah drama televisyen, meminta persetujuan Rahman untuk mengadaptasi sajak tersebut.

Seterusnya TV1 menyiarkan drama adaptasi berkenaan dengan tajuk Hari Ini Semalam (pada pukul 9 malam, 31 Ogos lalu). Banyak sekali puisi yang bergantung kepada ilham dan kemudian dibina perlahan lahan berasaskan keindahan dan keistimewaan bahasa.

Bahasa perbandingan, terutama metafora dan personafikasi amat membantu, dan mutu karya akan meningkat menerusi kekuatan daya imginasi dan kreativiti penulis. Rahman turut menghuraikan beberapa aliran aliran puisi, iaitu aliran realisme, romantisisme, surealisme dan intelektualisme.

Kelangsungan sesuatu aliran amat bergantung kepada tokoh kepenyairan terbabit. Empat aliran yang disebutkan itu dibawa oleh Kassim Ahmad, Usman Awang, Latiff Mohidin dan Muhammad Haji Salleh.

Rahman juga mmbangkitkan adanya jenis puisi yang dinamakan sajak tempahan. Beliau tidak memandang rendah pada sajak tempahan, asalkan dihasilkan dengan cermat dan rapi.

Sajak tempahan ialah sajak yang dihasilkan atas permintaan seseorang, atau oleh sesuatu pihak untuk maksud tertentu. Dalam proses menghasilkan sajak, baik yang tulen atau yang tempahan, proses pemeraman tetap penting. Melalui konsep ini, sajak hendaklah sampai ke tahap kematangan barulah dikemukakan kepada khalayak.

Menurut beliau, penggunaan metafora misalnya, ada yang tidak tepat jika tidak diperhatikan perkaitan antara satu metafora dengan metafora yang lain. Jadi, jangan anggap sesebuah puisi siap ditulis dengan sekali menulisnya, sebaliknya perlu ada proses suntingan beberapa kali, dan memakan masa beberapa lama, barulah ia menjadi sempurna. Beliau juga turut menasihati mereka yang berminat menulis sajak supaya mengambil ilham dan idea daripada peristiwa sekeliling.

Seterusnya, dipesankan jika makna sajak tiba-tiba berkembang, maka pengembangan makna hendaklah diraikan.

Adalah biasa, ketika seseorang menghasilkan karya tentang pengalaman, makna karya itu beranjak ke arah makna yang lebih besar dalam kehidupan. Kisah seseorang yang sesat di dalam hutan, jika disajakkan dengan gaya yang sangat kreatif, akan ditafsirkan sebagai sesat dalam kehidupan, misalnya menjadi pengikut aliran sesat Rahman juga menyatakan, bahawa perubahan makna seperti di atas berada di bawah teori resepsi.

Seterusnya disebutkan wujudnya perbezaan tahap kemudahan atau kesukaran memahami karya Tahap ini dinamakan tahap kekomunikatifan (level of comunicativeness) .

Maka, pilihlah sajak yang mudah difahami oleh khalayak, iaitu sajak yang bertahap kekomunikatifan tinggi.

Di Indonesia, sajak begini disebut sajak auditorium. Sajak yang sukar difahami, iaitu yang bertahap kekomunikatifan rendah, dinamakan sajak kamar yang dianggap kurang menarik. Dalam usaha mentafsir puisi, kesukaran tidak sama dengan ambiguiti. Puisi yang sukar akan menyebabkan pembaca menjauhinya, manakala puisi yang ada unsur ambiguiti menyebabkan pembaca memilih salah satu makna yang disukainya.

Rahman turut berkongsi penerimaan makna daripada sejumlah puisi yang dikemukakan oleh pelajar-pelajar. Selain itu, muncul juga persoalan tatabahasa. Pelajar bertanya, adakah peraturan tatabahasa perlu dijagai.

Katanya tatabahasa perlu dikuasai, tetapi dalam penghasilan puisi, terdapat konsep licentia poetica. Jadi, peminat puisi hendaklah memahami bahwa penggunaan bahasa yang berbeza , yang

kelihatan seolah-olah perlanggaran tatabahasa, sebenarnya diizinkan. Konsep inversi misalnya mengizinkan keterbalikan kedudukan kata-kata. Frasa ‘diri yang kecil’ misalnya, boleh diucapkan ‘kecil diri’. Itu ialah inversi.

Pemenang SEA Write Award 2007 yang menghafal 343 sajak itu juga mengingatkan pemeraman puisi dipengaruhi pelbagai perkara dan pusi berinspirasi kadangkala sekali tulis boleh menjadi sempurna.

Namun, kata beliau kehalusan sesuatu puisi bergantung kepada beberapa faktor seperti imej bercampur dan bukan puisi bahasa klise.

“Imej bercampur dalam puisi mungkin dikecualikan bagi aliran surealisme,” ujarnya.

Selain Rahman, seorang deklamator yang mempunyai gaya tersendiri turut memberikan kursus iaitu Haslinaz Hanafi. Beliau mengemukakan kaedah deklamasi yang berkesan.

Menurut Hazlinaz deklamasi memuatkan unsur teater, tetapi tidak sepenuhnya. Hal ini disebabkan teater berasaskan skrip lakonan, manakala deklamasi bergantung pada puisi.

“Satu daripada aspek-aspek utama adalah ekspresi muka. Untuk berjaya, ekspresi perlu ada latihan sekurang-kurangnya 15 kali baca puisi yang akan dideklamasikan. terutama puisi artistik,” ujarnya.

Hazlinaz teruja dengan semangat siswa guru yang berbakat yang, perlu digilap sesuai dengan harapan pimpinan IPG bagi melahirkan sasterawan masa depan.

Seorang siswa guru, Adam Syarihiran Mohd. Nawi berpendapat bengkel tersebut mendedahkannya kepada bidang sastera yang mengandungi bahasa-bahasa indah. Bagi Humairah Abd. Rahman bengkel tersebut dapat memperbaiki penulisannya .

Seorang lagi siswa Jesika pula berpendapat dia tertarik dengan genre puisi dan sastera meski pun tidak berpeluang belajar dalam jurusan bahasa Melayu.

“Saya tidak pernah berpuisi tetapi minat menulis kata kata indah , maka selepas ada idea saya cua menghasilkan puisi selepas ini, “ ujarnya.- UTUSAN

 

 

 

 

 

 

– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×