KUALA LUMPUR: Ketidakstabilan politik dan pandemik Covid-19 yang tidak ada kesudahan merupakan ancaman yang mampu menghalang pemulihan ekonomi negara.
Walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang 5.5 hingga lapan peratus pada tahun depan, namun ketidakstabilan politik yang boleh menyaksikan kerajaan berubah pada bila-bila masa bakal menjejaskan unjuran tersebut.
Begitu juga dengan kebarangkalian berlakunya gelombang kedua pandemik Covid-19 yang merupakan dua faktor dalaman yang mampu membantutkan pertumbuhan ekonomi.
Manakala faktor luaran seperti penularan Covid-19 yang masih belum ada penawar selain kemungkinan berlaku perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS).
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, unjuran BNM itu adalah realistik kerana konsensus dalam kalangan penganalisis menjangkakan ekonomi tumbuh sekitar 6.5 peratus pada 2021.
Jelas beliau, pertumbuhan bergantung kepada keupayaan negara menangani isu, terutama kebimbangan berlaku gelombang kedua Covid-19 yang boleh merencatkan pemulihan ekonomi.
“Selain itu, faktor ketidakstabilan politik negara menyebabkan agenda ekonomi seperti Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) tergendala.
“Faktor luaran seperti pandemik Covid-19 yang berterusan tanpa penemuan vaksin dalam masa terdekat akan menyebabkan perdagangan antarabangsa kekal perlahan.
“Selain itu, faktor geopolitik terutamanya melibatkan perang tarif AS dan China di samping ketidakstabilan harga komoditi utama boleh juga merencatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, BNM mengunjurkan ekonomi tumbuh 5.5 hingga 8 peratus pada 2021 selepas merekodkan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2020 kepada 17.1 peratus, pencapaian sukuan terburuk dalam tempoh 22 tahun selepas suku keempat 1998 pada 11.2 peratus.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berpanda-ngan, senario buruk ekonomi negara yang disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah berlalu dan masa hadapan ekonomi negara dijangka lebih cerah.
Ia selepas kerajaan membenarkan hampir kebanyakan ekonomi kembali beroperasi, selain cadangan membuka semula sempadan dengan Singapura.
Turut sependapat dengan Ahmed Razman ialah Profesor Fakulti Ekonomi & Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah bahawa, faktor pemulihan bergantung kepada faktor-faktor domestik dan global terutama Covid-19 yang masih belum nampak reda dan perang perdagangan AS-China.
“Di peringkat global banyak masalah belum diselesaikan seperti Covid-19 dengan bebarapa negara kembali melaksanakan perintah berkurung, kejatuhan harga komoditi dan minyak serta perang perdagangan AS-China yang boleh menjejaskan ekonomi Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, di peringkat domestik pula, wabak itu dilaporkan kembali merebak sehingga wujud kebimbangan berlaku gelombang kedua yang dikhuatiri boleh menjejaskan proses pemulih ekonomi.
“Dari segi kestabilan politik pula, jika kita hendak menarik pelabur asing datang, mereka tentunya hendak melihat politik negara kita stabil. Kebanyakan pelabur datang bukan untuk insentif, tetapi keutamaan mereka adalah politik yang stabil (untuk jaminan pelaburan).
“Sebagai contoh, Jepun telah umumkan mereka akan keluarkan syarikatnya dari China dan ia nak cari alternatif. Jika kita nak tarik mereka, mereka nak tengok kita stabil ke tidak,” katanya. – UTUSAN










