Zon penampan banjir hilang

Zon penampan banjir hilang

SHAHABUDIN Kasim menunjukkan bahagian belakang rumahnya yang runtuh akibat kesan air pasang di Kampung Semut Api, Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keluasan kawa­san tadahan hujan semula jadi yang terdiri daripada tebing su­ngai, tanah bencah (wetland) dan sawah padi yang semakin ber­kurang pada tahap kritikal, an­tara punca sebenar berlakunya banjir besar setiap tahun di Malaysia.

Kawasan-kawasan penting da­­lam ekosistem semula jadi ber­tindak selaku zon penapis kuan­titi hujan yang masuk secara terus ke sungai sehingga me­ngakibatkan paras air me­ningkat mendadak sebelum me­limpah ke penempatan sekitar.

Sawah padi di Malaysia ­pa­­da tahun 2017 adalah seluas 685,548 hektar namun menyusut kepada 637,935 hektar pada 2022. Sebanyak 47,613 hektar kawasan penampan banjir hilang dalam jangka masa lima tahun.

Pensyarah Fakulti Sains dan Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Aweng Eh Rak menegur dasar perancangan guna tanah yang pada hematnya penyumbang kepada masalah banjir yang kian meruncing di negara ini.

Sebagai contoh, katanya, perancangan guna tanah untuk pembangunan negara khususnya di luar bandar kurang mengambil kira tindakan awalan dalam projek tersebut iaitu pelan mitigasi banjir.

“Bila pelan awalan tidak diambil kira dalam pembangunan dirancang, apa yang terjadi adalah kerajaan terpaksa mengeluarkan kos besar untuk melaksanakan projek tebatan banjir yang sebenarnya adalah tindakan terakhir untuk mengurangkan kesan bencana.

“Tetapi perlu diingat bahawa faktor kurangnya kawasan tadahan semula jadi dan perubahan iklim akan menyebabkan tebatan banjir dibina akan sampai tempoh hanyat sehingga tidak efektif lagi menangani banjir di masa depan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan, kerajaan menganggarkan kos keseluruhan sebanyak RM392 bilion diperlukan melaksanakan 365 Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara.

Namun, peruntukan tahunan diterima kerajaan tidak mencukupi menampung kos sebesar itu, yang memaksa pelaksanaan projek dilakukan mengikut keutamaan.

Beliau berkata, keperluan kewangan tinggi menjadikan pengurusan peruntukan perlu dilakukan secara strategik dan berhati-hati.

“Dengan hanya RM1 bilion diperuntukkan setakat ini, kerajaan terpaksa menumpukan kepada projek-projek kritikal di kawasan paling terjejas dan memerlukan perhatian segera.

“Bajet yang diperlukan ba­gi menyelesaikan isu banjir men­cecah hampir RM392 bili­on, namun peruntukan kita terima hanya RM1 bilion,” katanya.

Aweng berkata, berdasarkan peranca­ngan guna tanah se­perti pembangunan di negara yang tidak mengambil kira faktor gangguan terhadap alam semula jadi mengakibatkan tindakan selanjutnya pihak berkuasa tidak akan dapat menyelesaikan isu banjir secara holistik.

“Topografi sesuatu kawasan diba­ngunkan berubah sekali gus menyukarkan penyelesaian isu banjir.

“Bagi me­ngurangkan risiko banjir lebih buruk, kerajaan boleh melaksanakan perluasan kolam tebatan banjir dan menanam semula pokok di kiri dan kanan sungai sebagai penampan limpahan air ke kawasan perumahan penduduk,” katanya.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, banjir yang semakin buruk saban tahun berlaku secara pratikalnya menjejaskan ekonomi negara daripada segi pelaburan jangka panjang.

Jika sebelum ini banjir hanya meliputi satu dua buah negeri di bahagian pantai timur tetapi sejak kebelakangan ini, bencana seperti banjir kilat atau banjir monsun melanda hampir kese­mua negeri di Semenanjung Malaysia.

Antara sektor kerap terjejas akibat bah adalah sektor pertanian, perladangan, pengangkutan, perindustrian, perkhidmatan dan pelancongan.

“Antara lain disebabkan berlaku kerosakan teruk terhadap tanaman, kerosakan pada muka bumi seperti jalan raya dan kemudahan infrastruktur lain serta melibatkan gangguan bekalan perkhidmatan dan rangkaian.

“Ia menyebabkan pelabur dalam sektor perindustrian, perkhidmatan dan logistik kurang berminat untuk melabur kerana sektor ini banyak bertumpu di kawasan bandar utama tetapi fenomena banjir yang kerap dan mula melanda bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Shah Alam menyukarkan kegiatan ekonomi tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pelaburan tidak akan hilang cuma ada potensi untuk terjejas dari segi pelaburan masa depan disebabkan ancaman banjir menimbulkan ketidakyakinan pelabur kerana enggan menanggung kerugian besar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×