Bekas Menteri Pertahanan Korea Selatan ditahan

Bekas Menteri Pertahanan Korea Selatan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Bekas Menteri Pertahanan Korea Selatan, Kim Yong Hyun ditahan berikutan peranannya dalam pengisytiharan undang-undang tentera yang mengheret negara itu ke dalam kekacauan, lapor media tempatan.

Yong Hyun meletak jawatan selepas kegagalan penguatkuasaan undang-undang tentera oleh Presiden, Yoon Suk Yeol lewat Selasa lalu, yang menyaksikan askar dan helikopter dihantar ke Parlimen.

Suk Yeol terpaksa membatalkan perintah itu kira-kira enam jam kemudian selepas ahli Parlimen bergegas mengundi untuk menentangnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Yong Hyun sudah dikenakan larangan perjalanan pada hari sama kekecohan berlaku.

Rabu lalu, polis dilaporkan melancarkan siasatan terhadap Suk Yeol, Yong Hyun dan beberapa pegawai tentera atas dakwaan pemberontakan.

Pejabat pendakwa raya bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang penahanan Yong Hyun.

Pada lewat Sabtu, Suk Yeol terselamat daripada usul pemecatan dan pendakwaannya di Parlimen walaupun terdapat protes besar-besaran di luar bangunan Dewan Negara.

Parti pembangkang mencadangkan usul tersebut yang memerlukan 200 undi di Parlimen untuk diluluskan. 

Tetapi hampir keseluruhan Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang memerintah memboikot undian itu, menyebabkan usaha itu gagal.

Selepas pengundian, PPP menjelaskan menyekat pemecatan Suk Yeol demi mengelakkan perpecahan dan huru-hara yang lebih buruk sambil menambah bahawa pihaknya akan menyelesaikan krisis berkenaan dengan cara yang lebih teratur dan bertanggungjawab.

Pemimpin PPP, Han Dong Hoon mendakwa berjaya mendapatkan janji Suk Yeol untuk berundur dan Presiden itu sudah menggantung tugasnya, meninggalkan perdana menteri dan parti untuk menguruskan hal ehwal negara.

Keputusan itu mengecewakan lebih sejuta yang berdemonstrasi di luar Parlimen menggesa penyingkiran Suk Yeol.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini