Jangan biarkan pendidikan Orang Asli ketinggalan

Jangan biarkan pendidikan Orang Asli ketinggalan

MASYARAKAT Orang Asli mesti terlibat secara aktif dalam menggubal dasar berkaitan pendidikan untuk memastikan cerminan aspirasi masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Belanjawan 2025 memberi peluang untuk memperjuangkan pendidikan responsif budaya untuk pelajar Orang Asli, tetapi tiada langkah bersasar yang diperlukan untuk mencapai matlamat ini telah diketengahkan. Kertas kajian dasar oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) pada tahun 2020, yang dihasilkan dengan kerjasama masyarakat Orang Asli, menekankan kepentingan mengintegrasikan budaya dan sejarah Orang Asli ke dalam kurikulum arus perdana.

Masyarakat Orang Asli mesti terlibat secara aktif dalam menggubal dasar berkaitan pendidikan untuk memastikan cerminan aspirasi masyarakat. Tidak seperti pendekatan di Australia, di mana A$2.4 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan kepada organisasi First Nations untuk membangunkan secara bersama dasar pendidikan di seluruh negara, dasar Malaysia yang memberi kesan kepada masyarakat Orang Asli sering mengecualikan suara Orang Asli semasa proses perancangan dan membuat keputusan, seperti yang dilaporkan oleh Center for Orang Asli Concerns (COAC). Menggabungkan perspektif Orang Asli dalam perancangan pendidikan adalah penting untuk merangka dasar yang sesuai dengan pengalaman hidup mereka.

Menangani Masalah Di Luar Bilik Darjah
Kerajaan mesti menangani isu asas sosial dan alam sekitar yang menghalang kanak-kanak Orang Asli daripada mendapatkan pendidikan untuk mewujudkan perubahan yang berkekalan. Capaian kepada infrastruktur asas, seperti jalan raya yang selamat, elektrik, air bersih, dan internet, masih menjadi cabaran di kebanyakan perkampungan Orang Asli. Apabila masyarakat Orang Asli sibuk mengurus keperluan asas kelangsungan hidup seperti air, tanah runtuh dan perumahan, mereka tidak diberikan peluang untuk memberikan tumpuan kepada pendidikan.

Belanjawan 2025 memperuntukkan RM10 juta untuk pembinaan rumah dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) di bawah program EPIC Homes, iaitu satu inisiatif yang dialu-alukan yang akan meningkatkan keadaan hidup masyarakat Orang Asli. Komitmen kerajaan untuk membelanjakan RM18 juta bagi membangunkan profil kawasan cerun berisiko tinggi di perkampungan Orang Asli demi mengelakkan tanah runtuh juga amat penting. Usaha yang baik ini sudah lama tertangguh dan menunjukkan langkah positif ke arah memperbaiki keadaan hidup masyarakat Orang Asli. Walau bagaimanapun, kerajaan perlu sentiasa cakna dalam berterusan menangani isu ini secara lebih bersepadu, dengan memastikan faktor persekitaran yang mengganggu pendidikan dan kestabilan komuniti tidak hanya ditangani melalui penyelesaian yang bersifat sementara.

Hala Tuju Masa Hadapan
Walaupun Belanjawan 2025 menawarkan beberapa langkah positif untuk masyarakat Orang Asli, masih terdapat kekurangan dari segi wujudnya perubahan transformatif untuk pendidikan Orang Asli. Program intervensi awal, pembelajaran yang responsif budaya, dan penglibatan lebih besar masyarakat Orang Asli dalam penggubalan dasar adalah penting untuk merapatkan jurang pendidikan mereka. Di luar peruntukan kewangan, komitmen terhadap mengurangkan isu sistemik dan memperbaiki infrastruktur bagi pendidikan Orang Asli adalah penting. Dalam perangkaan Pelan Pendidikan Masa Depan Malaysia 2026-2036 yang sedang dijalankan ketika ini, suara Orang Asli mesti diketengahkan dan diutamakan bagi apa-apa dasar berkaitan masyarakat mereka. Penglibatan mereka penting bagi memastikan Malaysia boleh menyokong kanak-kanak Orang Asli untuk berjaya secara akademik sambil mengekalkan warisan budaya mereka yang kaya. – UTUSAN

DURRAH SHARIFAH AHMAD AZLAN
Pegawai Penyelidik di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×