SEJAK kebelakangan ini terdapat banyak ketidakpuasan hati ke atas Kerajaan Perpaduan. Beberapa kaji selidik dan kenyataan yang dibuat bersempena genap dua tahun Kerajaan Perpaduan memberikan penilaian yang negatif ke atas prestasinya.
Paling menonjol ialah dapatan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang menilai pemenuhan agenda reformasi Kerajaan Perpaduan yang memberi markah 27/68 atau 39.7 peratus, iaitu markah gagal, kepadanya.
Beberapa sorotan penilaian yang dikemukakan ialah reformasi kritikal yang belum dilaksanakan untuk melindungi institusi awam daripada campur tangan eksekutif, termasuk komitmen untuk memisahkan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya (PP).
Selainnya ialah Pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan AG baharu tidak melibatkan proses pengawasan Parlimen, ia menjejaskan kepercayaan awam terhadap kebebasan institusi ini.
Seterusnya ialah isu ‘malapportionment’ dan ‘gerrymandering’ tidak ditangani, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman masih belum dimansuhkan atau dipinda, menyekat kebebasan bersuara serta tiada Akta Pembiayaan Politik.
Dalam tulisan penganalisis politik luar negara, Dr. Bridget Welsh pula mendakwa Kerajaan Perpaduan kini telah menjadi ‘kartel madani’ yang mengutamakan pengukuhan kuasa berbanding pelaksanaan reformasi.
Hubungan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan UMNO, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan DAP didakwa dicirikan oleh elemen ‘pemujukan, penyesuaian dan penyerahan’ yang mengorbankan idealisme reformis.
Welsh juga mendakwa pentadbiran Anwar pada tahun kedua dicirikan oleh pemusatan kuasa secara berlebihan, menyebabkan ia semakin terdedah kepada kerentanan, dengan pengundi bukan Melayu dan golongan muda semakin kecewa.
Semua penilaian ini kelihatan berwibawa melihat kepada beberapa peristiwa yang berlaku mutakhir ini. Contohnya ialah perarakan lebih 50 ahli Sekretariat Fourth for the Fourth (404) yang terdiri pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Parlimen, Rabu lalu.
Dalam majlis yang dianjurkan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ), Gerakan Media Merdeka (Geramm), dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) itu, mereka mengemukakan satu memorandum bantahan kepada Anwar dan ahli-ahli Parlimen lain.
Bantahan itu melibatkan cadangan pindaan yang mahu Kerajaan Perpaduan lakukan terhadap beberapa akta termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) yang didakwa akan mengekang kebebasan media.
Di sebalik semua ini, pembangkang pada masa sama kelihatan lesu. Bersih sendiri menyebut pembangkang tidak memberi keutamaan kepada Kabinet bayangan yang lebih terstruktur, platform dasar yang padu, penyertaan parlimen yang konsisten dan representasi yang inklusif,
Apa yang berlaku ialah dari hari ke hari semakin banyak pertikaian terbuka dalam media massa atau media sosial antara pemimpin Perikatan Nasional (PN) mengenai bermacam-macam perkara yang menimbulkan persoalan mengenai kesediaan PN menjadi kerajaan alternatif.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, tidak semena-mena berkata dalam satu portal berita bahawa semua parti dalam PN sepakat menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri mereka pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dalam satu kenyataan pula menegaskan partinya lebih layak memimpin kerana wakilnya paling ramai di Dewan Rakyat mewakili PN. Pas tiada rekod atau masalah lompat parti serta mempunyai jentera akar umbi kuat di seluruh negara.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden pula mencadangkan supaya Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, bukannya Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dilantik sebagai Setiausaha Agung PN yang baharu, menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Cadangan ini ditepis oleh pemimpin Bersatu yang menyatakan bahawa Muhyiddin selaku Pengerusi PN mempunyai kuasa mutlak dalam melantik bukan sahaja setiausaha agung tetapi juga jawatan lain seperti bendahari agung, ketua penerangan dan pengarah pilihan raya PN.
Ada juga ahli-ahli akademik dan pemimpin-pemimpin tertentu yang mahu Muhyiddin berundur dari jawatan Pengerusi Bersatu dan PN bagi memberi peluang kepada pemimpin muda yang lebih bertenaga untuk mengetuai jentera perang PN dalam PRU16.
PERUBAHAN
Selaku pengamat politik nasional, saya berpandangan bahawa PN memang memerlukan beberapa perubahan struktural dalam organisasinya bagi memberi satu rejuvenasi dan anjakan paradigma sekali gus menjadikannya lebih diyakini sebagai kerajaan alternatif.
Perlembagaan PN sewajarnya dipinda bagi lebih memantapkan lagi organisasi PN. Keputusan pemilihan kepimpinan Bersatu yang mengekalkan Muhyiddin sebagai Pengerusi perlu dihormati, tetapi organisasi PN perlu dijadikan lebih demokratik.
Pertikaian mengenai calon Perdana Menteri PN boleh diselesaikan dengan mengubah jawatan Pengerusi PN menjadi Pengerusi Bersama yang boleh dinamakan sebagai Council of Elders (Majlis Penatua) yang terdiri daripada pengerusi parti-parti gabungan atau negarawan-negarawan lain.
Serentak itu, lantikan jawatan utama PN yang kini dikehendaki dilantik oleh pengerusi untuk memegang jawatan tersebut selama yang dikehendaki oleh pengerusi juga perlu didemokratikkan.
Lantikan ke jawatan-jawatan utama tersebut seeloknya dibuat secara syura kerana pemusatan kuasa yang ada kepada pengerusi PN mengikut Perlembagaan PN sekarang menimbulkan masalah kepada gerak kerja PN selain tidak memberikan keyakinan mengenai kemampuan gabungan parti itu kepada rakyat.
Penilaian negatif yang diberikan banyak pihak ke atas Kerajaan Perpaduan merupakan satu peluang besar kepada PN. Malang jika PN tidak merebut peluang berharga ini dengan membuat rejuvenasi dalaman bagi memposisikan PN sebagai kerajaan alternatif berwibawa.
Jika PN lebih kuat maka, Kerajaan Perpaduan juga pasti lebih serius dan tidak akan terlalu selesa.-UTUSAN
MUHAMMAD Afifi Abdul Razak adalah penganalisis politik tempatan.










