BARISAN NASIONAL (BN) berdepan pelbagai cabaran untuk terus bertahan apabila berada di kerusi pembangkang. Oleh kerana itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 tahun hadapan, parti ini tiada pilihan selain untuk menang bagi memastikan kekal relevan sekali gus mentadbir kerajaan negeri bersama rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi BN Sabah yang juga merupakan Ahli Parlimen Kinabatangan, DATUK SERI BUNG MOKTAR RADIN mengakui pihaknya sejak dari awal lagi bertungkus lumus merancang strategik bagi berdepan PRN. Ini bagi membolehkan parti memperbaiki segala kelemahan yang ada.
Ikuti wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, dibantu jurugambar MUHAMMAD IQBAL ROSLI dan juruvideo, ZUID IKH RAL SAMSON di Parlimen, baru-baru ini.
PENTING UNTUK BN MENANG
Senario politik di Malaysia sudah berbeza di Persekutuan bila mana UMNO, BN dan PH (Pakatan Harapan) bergabung dalam sebuah Kerajaan Perpaduan. Kita melihat betapa pentingnya juga (kelebihan) kerajaan di Persekutuan dilimpahkan ke Sabah. Ini bagi memastikan BN dan PH tidak bertembung dalam PRN Sabah kerana apabila ada pertembungan yang begitu ketara, ia mungkin boleh menggugat kerajaan di peringkat Persekutuaan. Sebab itu, kita mulakan langkah kesefahaman antara parti-parti di bawah Kerajaan Perpaduan.
YAKIN RAMPAS KEMBALI SABAH
Kalau tidak menang maka ada perkara-perkara yang tidak dilaksanakan tetapi sebagai Ketua BN Sabah, saya melihat peluang (untuk menang) lebih baik daripada parti-parti lain. Jadi, keyakinan ini bukan ‘datang’ sahaja-sahaja tetapi berlandaskan kerja-kerja dan persiapan daripada bawah di peringkat awal. Dengan ini, boleh memberi keyakinan kepada rakyat dan akar umbi.
KERJASAMA DENGAN PARTI TEMPATAN
BN sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti tempatan tetapi kami juga memutuskan parti itu biarlah yang boleh menyumbang kemenangan dan benar-benar memberi kesan dalam kerjasama kerana BN/UMNO sudah melalui pelbagai proses dalam PRN dan PRU lalu. Amat mengerikan jika kita kerjasama dengan parti yang tidak ikhlas dalam perjuangan bersama.
Dalam pemikiran, dalam hati ini sudah ada (parti tempatan yang ingin bekerjasama) cuma belum lagi boleh diterjemahkan.
KEMENANGAN MENJAMIN KEKUATAN UMNO DI SEMENANJUNG
Insya-Allah kemenangan ini akan membawa satu mesej kepada pengundi di semenanjung bahawa UMNO/BN bukan sebuah parti sukar bangkit sebagaimana yang diperkatakan. Sebenarnya tidak sebegitu, UMNO sentiasa bangkit daripada kekalahan dan memperbetulkan kesilapan yang berlaku pada satu ketika dahulu.
KES MAHKAMAH
Walaupun sebetulnya saya masih berhadapan dengan kes mahkamah tetapi tugas sebagai ketua parti tidak dibebankan oleh kes tersebut. Kes ini masih berjalan dan panjang lagi prosesnya. Rakyat Sabah faham dengan kedudukan itu dan meneriama seadanya diri saya.
Alhamdulillah sokongan rakyat semakin hari semakin bertambah. Apabila setiap minggu turun ke DUN-DUN (Dewan Undangan Negeri) sasaran, sambutan daripada masyarakat memang makin bertambah.
Keahlian UMNO Sabah sebelum kita kalah pada 2018 ialah 530,000 orang dan selepas melompat beramai-ramai tinggal 480,000 orang tetapi hari ini keahlian meningkat kepada 638,000. Ini bermakna mereka yakin dengan kepimpinan UMNO dan BN.
PH JUGA KUAT DI SABAH
Saya tidak berani mengatakan PH tiada kekuatan, sebetulnya mereka ada juga kekuatan. Cuma mungkin dengan bergabung boleh menyelaraskan kekuatan bersama.
Sebenarnya belum diputuskan lagi (sama ada untuk bekerjasama dengan PH) cuma wujud perbincangan untuk penyelesaian penyelarasan kesesuaian bagi memulakan jajaran awal untuk perundingan.
Baru-baru ini Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata PH Sabah juga terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti tempatan, BN pun begitu.
Ketika ini begitu banyak parti-parti tempatan menyuarakan untuk bergerak solo termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Saya menyarankan mereka jangan lagi menarik diri daripada ucapan-ucapan itu dan BN bersedia memberi tentangan kepada mereka.
BOLEHKAH PARTI BERGERAK SOLO MENANG?
Ini bukan soal kemampuan tetapi emosi. Ramai juga sebelum ini parti tempatan bergerak solo tetapi hilang deposit. Saya tidaklah katakan mereka tiada kemampuan sebab masing-masing ada keyakinan tetapi saya melihat sukar untuk mana-mana parti tempatan untuk bergerak solo melainkan dengan kerjasama pelbagai parti.
Kalau 15 tahun dahulu mungkin boleh tetapi kalau berdasarkan senario kali ini, tidak mungkin.
KERJASAMA DENGAN WARISAN?
Kalau keadaan itu ‘memaksa’ kerjasama, kita terbuka (untuk bekerjasama) dengan mana-mana parti yang boleh memenangkan kita.
KERJASAMA SELEPAS PRN
Pun ada kemungkinan sebab itu buat masa sekarang kita mempunyai perancangan tetapi ia akan berlaku apabila kerajaan terbubar. Dalam politik ini kita melalui pelbagai proses. Bukan mudah untuk berunding dengan mana-mana parti.
Pertama timbul soal pertindihan kerusi, agihan jawatan menteri, timbalan menteri, jawatan di kampung-kampung dan sebagainya sekiranya menang. Ini juga harus diperhalusi. Mungkin tidak memuaskan semua pihak dan apabila ia berlaku, akan ada yang menarik diri.
Di situlah rundingan sebenar akan berlaku dan keputusan bergantung pada ketika itu.
MASALAH RAKYAT MASIH TIDAK SELESAI
Kerajaan negeri tidak membentangkan apa-apa penyelesaian kepada rakyat. Bagaimana kerajaan negeri menyelesaikan masalah bekalan air bersih? Demikian juga dengan elektrik yang mana Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau memaklumkan sekiranya tiada bantuan kerajaan Persekutuan, maka Sabah diramal akan mengalami keadaan yang teruk. Isu ini perlu diselesaikan oleh mana-mana parti yang menang pada PRN akan datang.
Yang menjadi isu sekarang adalah air bersih. Hal ini berlaku apabila loji air rosak dan perlu diperbetulkan.
Sabah juga satu-satunya negeri yang tiada empangan air. Ini pun perlu difikirkan supaya negeri ini mempunyai empangan air yang boleh menyalurkannya kepada kepada seluruh rakyat.
HANYA MAHU MENANG
Kalah bukan pilihan sebetulnya. Pilihan kita menang tetapi apabila ia berlaku lagi (kalah dalam pilihan raya), maka saya rasa bukan hanya BN tetapi mana-mana parti pun yang kalah, menjadi pembangkang tidak boleh bertahan di bumi Sabah.
Sebab itu, saya selalu menyatakan kepada jentera-jentera BN bahawa kekalahan dalam pilihan raya akan datang bukan pilihan. Pilihan kita hanya satu, untuk memenangkan calon-calon. Yang kalah akan pergi.
Saya akan fikirkan untuk kekal jawatan atau sebaliknya apabila tiba masanya kerana bukan mudah untuk bertahan lima tahun sebagai pembangkang. Yang penting kita perlu atasi kelemahan itu. Sebab itu kita buat persiapan dari awal, ikhtiar dan usaha berlipat ganda sehingga ke hari ini. Selepas itu kita berjuang, terserah kepada rakyat, jika mereka yakin, insya-Allah kali ini BN akan kembali memerintah.-UTUSAN










