Empat beranak resah rumah rosak dipukul ombak

Empat beranak resah rumah rosak dipukul ombak

CHIK Amat Ismail (kiri) menunjukkan kerosakan rumahnya dihempas ombak besar di Pantai Bisikan Bayu Semerak, Pasir Puteh, Kelantan semalam. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Empat beranak yang tinggal di pesisir Pantai Bisikan Bayu Semerak di sini hidup dalam keresahan semasa musim tengkujuh apabila sebahagian rumah mereka pecah dan bergegar akibat dihempas ombak besar sejak se­minggu lalu.

Keadaan itu menyebabkan rumah Chik Amat Ismail, 43, hampir roboh akibat hakisan dan ombak besar ketika air laut pasang besar terutamanya pada waktu malam.

Chik Amat berkata, situasi yang sama dialami mereka sekeluarga setiap kali tibanya musim tengkujuh dan fenomena air laut pasang besar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, rumah miliknya terletak tidak sampai 30 meter dari gigi pantai dan ombak besar menyebabkan bahagian dalam kediaman tersebut digenangi air laut.

“Saya telah memohon bantuan rumah dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di satu lokasi lain, namun kami tidak layak kerana salah satu syaratnya adalah mempunyai lima orang anak. Saya pula hanya ada dua anak.

“Jadi, kami sekeluarga perlu berpindah ke rumah saudara mara lebih awal semasa musim tengkujuh memandangkan isteri, Robiah Abdul Rahman, 44, merupakan orang kurang upaya (OKU) selain menghidap kanser payudara,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas tinjauan keselamatan musim tengkujuh oleh pasukan bomba dan penyelamat di Tok Bali, di sini semalam.

Chik Amat memberitahu, dia juga bimbang keselamatan dua anak yang berusia 2 dan 10 tahun sekiranya terus tinggal di rumah itu pada musim laut bergelora.

Kata beliau, pendapatannya menjual air balang di tepi pantai juga merosot kerana tiada pengunjung pada musim tengkujuh.

“Saya sebelum ini bekerja di sebuah kilang keropok dan cuba berniaga selepas mendapat bantuan motosikal roda tiga dan balang menerusi program e-Kasih.

“Wang bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima sebanyak RM450 sebulan digunakan sebagai modal perniagaan dan perbelanjaan harian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini