Sungai Kim Kim beracun - Utusan Malaysia

Sungai Kim Kim beracun

KAKITANGAN sebuah makmal bebas menggunakan peralatan khas, Van Dorn water sampler ketika mengambil sampel air Sungai Kim Kim pada Mac lalu. – FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keputusan ujian mikrobiologi air Sungai Kim Kim yang mengesan kehadiran bakteria Escherichia coli atau E. coli dalam kuantiti tinggi memudaratkan kesihatan manusia sehingga menjadi punca cirit-birit berdarah.

Meskipun dalam kebanyakan jenis E. coli hanya seberapa sahaja yang boleh menyebabkan cirit-birit namun satu kumpulan E. coli termasuk O157: H7 boleh menghasilkan toksik sehingga merosakkan lapisan usus kecil manusia yang akhirnya individu itu mengalami cirit-birit berdarah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kualiti Air dan Permodelan, Dr. Zaki Zainuddin berkata, hanya E. coli yang boleh menjejaskan kesihatan manusia manakala pencemaran lain membabitkan Keperluan Oksigen Biokimia (BOD) dan ammonia pula lebih kepada memberi kesan kepada hidupan akuatik.

Menurut beliau, kandungan E. coli yang tidak sepatutnya sehingga mencecah 410,000 CFU/100mL dalam Sungai Kim Kim dapat dinilai sendiri tahap kemudaratan kepada manusia yang terdedah dengan pencemaran berpunca bakteria berkenaan.

“Jika air yang tercemar mengandungi bakteria E. coli terlalu tinggi terkena kulit manusia misalnya ketika melakukan aktiviti menaiki bot, individu itu akan mengalami gatal kulit.

“Pendek kata berdasarkan sampel yang dianalisis, air Sungai Kim Kim ini berisiko seperti cukup sekadar terkena percikan ia mampu memberi kesan,” katanya di sini, semalam.

Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan keadaan Sungai Kim Kim dan Sungai Selangkah tenat berdasarkan keputusan BOD, Ammonia dan E. coli yang dianalisis sebuah makmal bebas bertauliah.

Berdasarkan bacaan E. coli sehingga 410,000 CFU/100mL yang direkod melalui sampel air Sungai Kim Kim, parameter itu meletakkan sungai berkenaan dalam Kelas V mengikut Standard Kualiti Air Kebangsaan (NWQS), selain melebihi paras 1,000 CFU/100mL untuk aktiviti rekreasi air sentuhan sekunder di bawah Standard Kebangsaan Kualiti Air Rekreasi Semulajadi, Kementerian Kesihatan.

Selain itu, difahamkan, bakteria E. coli mudah berjangkit daripada seorang individu ke individu lain terutama apabila orang dewasa atau kanak-kanak yang dijangkiti tidak mencuci tangan dengan betul.

Tanda-tanda dan simptom jangkitan E. coli seperti cirit-birit (ringan, berair, berdarah); kekejangan; sakit atau rasa lembut pada abdomen serta mual dan muntah.

Tanda-tanda tersebut lazimnya bermula tiga atau empat hari selepas individu berkenaan terdedah kepada bakteria itu dan menjadi sakit sejurus selepas sehari ataupun selepas lebih seminggu dijangkiti.

Sementara itu, bagi implikasi terhadap BOD pula, Zaki menjelaskan, parameter itu digunakan untuk mengukur bahan organik di mana bahan organik yang terurai akan menggunakan oksigen, sekali gus mengurangkan kandungan oksigen terlarut (DO) dalam sungai.

“Sebagaimana kita tahu, hidupan akuatik seperti ikan, udang dan lain-lain memerlukan oksigen untuk hidup. Apabila oksigen kurang, maka terjejaslah hidupan akuatik di sungai kerana lebih tinggi nilai BOD akibat pencemaran kemungkinan lebih banyak DO digunakan.

“Malah, dalam situasi Sungai Kim Kim yang turut dipengaruhi pasang surut ia terhad dari segi pengudaraan semula (kemasukan oksigen dari udara ke dalam sungai) yang secara tidak langsung memudahkan lagi kejatuhan DO,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, dari segi Ammonia pula, ia diketahui sebagai toksik untuk banyak hidupan akuatik.

“Hanya hidupan akuatik yang lasak dapat hidup dalam air yang mengandungi Ammonia tinggi dan DO rendah.

“Maka jelas, kekurangan DO dan kehadiran nilai Ammonia yang tinggi menjejaskan habitat akuatik Sungai Kim Kim dan ini belum lagi kita mengambil kira sisa-sisa lain yang mungkin berada dalam sungai terbabit,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×