PETALING JAYA: Tiada rezeki buat wakil negara, baik Ng Eain Yow mahupun S. Sivasangari, kedua-dua mereka gagal mara ke perlawanan akhir pada Kejohanan Skuasy Terbuka Singapura di Pusat Sukan OCBC Singapura, hari ini.
Dalam saingan separuh akhir lelaki, Eain Yow yang menghuni ranking ke-14 dunia masih belum mampu menandingi bintang No. 1 dunia, Ali Faraq dari Mesir apabila tumpas 11-13, 6-11, 11-9, 6-11 dalam masa 52 minit.
Kekalahan itu juga menyaksikan Eain Yow masih belum mampu melakar walau satu kemenangan ke atas Ali yang memegang rekod pertemuan 5-0.
Sementara itu, bagi separuh akhir wanita pula, pemain No. 9 dunia, Sivasangari sekali lagi dikecewakan ditangan lawan yang sama iaitu Amina Orfi dari Mesir buat kali kedua berturut-turut 5-11, 6-11, 12-10, 8-11 dalam masa 64 minit.
Minggu lalu, juara remaja dunia itu mengetepikan anak jati Kedah tersebut pada perlawanan akhir Piala Skuasy Malaysia ACE.
Kegagalan tersebut juga semakin menjarakkan rekod pertemuan antara Amina dan Sivasangari yang berpihak kepada pemain Mesir berusia 17 tahun itu 3-1.
Esok dalam perlawanan akhir, Amina akan berdepan rakan senegara, Hania El Hammamy yang merupakan jaguh No. 3 dunia manakala untuk satu lagi aksi final, Ali akan menentang sama ada pilihan kedua, Paul Coll dari New Zealand atau pilihan ketiga, Diego Elias dari Peru. – UTUSAN










