WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengharamkan import makanan, logam dan produk lain dari kira-kira 30 syarikat China atas dakwaan menggunakan buruh paksa melibatkan etnik Uighur, menurut notis kerajaan yang disiarkan dalam talian.
Langkah sekatan baharu itu melibatkan pelbagai barangan seperti pes tomato, kacang walnut, emas, dan bijih besi.
Menurut kenyataan yang diterbitkan di Federal Register, sekatan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan persekutuan AS untuk menghalang kemasukan barangan dan produk yang dihasilkan daripada tenaga buruh paksa ke dalam negara tersebut.
Syarikat-syarikat itu dimasukkan ke dalam Senarai Entiti Akta Pencegahan Buruh Paksa Uighur, yang menyekat import barangan dikaitkan dengan dakwaan pencabulan hak asasi manusia dan genosid berterusan oleh China di Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang.
Pihak berkuasa AS mendakwa kerajaan China telah mewujudkan kem tahanan untuk etnik Uighur serta kumpulan minoriti agama dan etnik lain di wilayah barat Xinjiang.
Bagaimanapun, Beijing menafikan sebarang dakwaan pencabulan hak asasi manusia.
Penambahan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan syarikat yang tersenarai melebihi 100 sejak Akta Pencegahan Buruh Paksa Uighur diluluskan pada Disember 2021.
Daripada syarikat yang baharu disenarai, 23 daripadanya beroperasi dalam sektor pertanian, manakala selebihnya terlibat dalam perlombongan, peleburan, dan pemprosesan bahan logam seperti tembaga, litium, berilium, nikel, mangan, dan emas.
“Tindakan penguatkuasaan hari ini menunjukkan pendirian jelas iaitu AS tidak akan bertoleransi terhadap buruh paksa dalam barangan yang memasuki pasaran kami,” kata Setiausaha Rendah Dasar Keselamatan Dalam Negeri, Robert Silvers dalam satu kenyataan.
Beliau turut menggesa syarikat-syarikat untuk bertanggungjawab, mengenal pasti rantaian bekalan mereka dan bertindak secara beretika. -REUTERS










