Dalam kehidupan berkeluarga, perbalahan antara saudara kandung sudah menjadi lumrah.
Di sinilah, peranan pasangan, baik yang bergelar suami atau isteri amat penting untuk meredakan konflik itu.
Sebagai orang luar yang telah menjadi sebahagian daripada ahli keluarga melalui ikatan perkahwinan, pasangan memiliki kedudukan tersendiri untuk bertindak sebagai pendamai.
Mereka seharusnya menjadi pihak yang lebih natural,menjadi pendengar, memberi pandangan , nasihat dan membantu pasangan memahami konflik.
Minggu ini saya kongsikan tentang kisah dua beradik, Hakim dan Salman, (bukan nama sebenar) yang bergaduh sesama sendiri kerana harta.
Lebih memburukkan keadaan apabila perbalahan kedua beradik itu turut melibatkan pasangan masing-masing.
Dalam kes ini, pasangan masing-masing langsung tidak memainkan peranan menyokong sebaliknya lebih kepada sifat ‘menyimbah minyak ke api’.
Kisah dua beradik ini dikongsikan ibu saudara mereka sendiri, Anum, (bukan nama sebenar) dalam kiriman emel kepada saya baru-baru ini.
Dalam emelnya, Anum menulis dia tidak berniat untuk membuka aib keluarga sendiri, namun lebih kepada memberi pengajaran kepada pembaca di luar sana.
Kata Anum, ego dan rasa tidak puas hati telah mengaburi nilai kasih sayang yang pernah dikongsi dua adik-beradik itu sejak kecil.
Menyingkap kisah anak saudaranya itu, kata Anum, Hakim dan Salman membesar bersama dalam sebuah keluarga sederhana yang penuh kasih sayang.
Walaupun sering bertengkar ketika kecil, namun hubungan mereka terlalu akrab kerana asuhan dan kasih sayang kedua ibu bapa.
Namun setelah kematian bapa mereka dalam satu kemalangan ngeri, perkara yang sepatutnya menjadi penyambung warisan keluarga menjadi racun yang memisahkan mereka.
Tanah, rumah pusaka dan harta keluarga yang ditinggalkan bapa, menjadi punca perbalahan dua beradik ini.
Kata Anum, setelah kematian bapa mereka, tanggungjawab menguruskan perniagaan keluarga jatuh kepada Hakim sebagai anak sulung.
Salman pula ketika itu menuntut di sebuah universiti di luar negeri.
Masing-masing ketika itu telah berumahtangga.
Masalah mula timbul apabila Salman menamatkan pengajian dan kembali semula ke tanah air.
Awalnya, Salman diminta ibu untuk membantu Hakim menguruskan perniagaan, namun lama-kelamaan sikap tamaknya semakin ketara.
Salman sudah mula berani mempersoalkan pengurusan harta keluarga oleh abang sulungnya itu.
“Salman ketika itu berpendapat dia juga berhak dan lebih layak untuk menguruskan harta keluarga.
‘Manakala Hakim berpendapat dia lebih berhak ke atas harta tersebut kerana dia bertanggungjawab menjaga ibu mereka dan menguruskan perniagaan keluarga sejak kematian bapa,” tulisnya.
Perbincangan yang awalnya tenang dan lancar bertukar menjadi pertikaian serius.
Salman menuduh Hakim tidak telus dalam perniagaan, manakala Hakim mendakwa adiknya itu tamak dan hanya mengambil kesempatan.
Kedua beradik ini sering bertengkar di hadapan ibu mereka sendiri.
Lebih memburukkan keadaan, apabila isteri kedua-dua beradik itu, Marlina dan Siti (bukan nama sebenar) turut campur tangan.
Isteri Hakim, Malina seorang wanita yang tamak dan sering memberi pandangan tegas.
Dia mendesak Hakim supaya meminta bahagian lebih besar kerana kedudukannya sebagai anak sulung.
Marlina sering mempengaruhi Hakim agar tidak mudah cepat kasihan kepada saudara kandungnya itu.
Wanita itu sering mengingatkan suaminya bahawa dia berhak mendapat lebih banyak kerana telah mengorbankan diri menjaga perniagaan keluarga selepas kematian bapa.
Sementara di pihak Salman, isterinya, Siti turut tidak mahu berdiam diri.
Dia pula menasihati Salman agar tidak mudah mengalah dan mendesak perkara itu dibawa ke mahkamah.
Pertelingkahan dua beradik ini semakin memuncak apabila Salman memfailkan kes ke mahkamah untuk menuntut hak ke atas beberapa aset milik bapa mereka.
Proses itu memakan masa dan kos yang tinggi membuatkan hubungan kedua-dua keluarga semakin renggang dan tegang.
Setiap kali pertemuan keluarga, Marlina dan Siti masing-masing sering mengeluarkan kata-kata sinis.
Konflik kecil itu akhirnya menjadi pertengkaran terbuka yang turut melibatkan anak masing-masing.
Hakim dan Salman bukan sahaja bertelagah, tetapi masing-masing menyimpan dendam dan curiga antara satu sama lain.
Apa sahaja perbincangan tidak pernah mencapai kata sepakat kerana isteri masing-masing kerap campur tangan sekali gus mengeruhkan lagi suasana.
Ketika ahli keluarga lain termasuk Anum cuba mendamaikan, mereka terus berdebat.
Akhirnya konflik yang asalnya antara dua beradik itu berubah menjadi perbalahan lebih besar dalam keluarga sehingga membuatkan ibu mereka jatuh sakit.
“Sepanjang tempoh mereka bersengketa saya begitu kasihan pada kakak.
“Hampir setiap hari dia menangis, sedih melihat anak menantunya bergaduh sesama sendiri kerana harta,” tulis Anum lagi.
Kata Anum, sehingga ke hari ini hubungan dua adik-beradik ini tidak pernah baik.
Hakim dan Salman cuba mengelak untuk bertemu.
Ketika ibu mereka sakit, masing-masing bergilir melawat supaya tidak bertembung.
Ternyata ego mereka begitu tebal sehingga tiada lagi nilai kasih sayang antara adik beradik.
Kisah Hakim dan Salman ini memberi pengajaran kepada kita semua betapa pentingnya peranan seorang isteri atau suami kepada pasangan.
Mereka seharusnya membantu menyelesaikan konflik dengan bersikap rasional dan adil, bukan menambah ketegangan demi kepentingan peribadi.
Campur tangan yang tidak bijak,walaupun niat awalnya baik boleh merosakkan hubungan keluarga yang sukar dipulihkan.
Sebagaimana Firman Allah SWT, “Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaiki hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat Rahmat.”- (Al-Hujurat ayat 10).










