NEW YORK : Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran perubahan demografi, krisis iklim yang semakin buruk dan perkembangan teknologi pesat berpotensi mencetuskan masa depan yang kelam bagi generasi muda menjelang pertengahan abad ke-21.
Dalam laporan tahunan terkini, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menegaskan kanak-kanak hari ini berdepan pelbagai cabaran, termasuk kejutan iklim dan bahaya dalam talian yang dijangka bertambah serius pada masa depan.
“Dekad kemajuan, terutamanya bagi kanak-kanak perempuan, kini berada dalam ancaman,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell, dalam kenyataan yang mengiringi laporan tersebut.
UNICEF meramalkan tiga ancaman utama menjelang 2050, di samping konflik yang tidak dapat diramalkan, bakal memberi impak buruk kepada kanak-kanak jika tiada tindakan segera diambil oleh pembuat dasar.
Antaranya ialah perubahan demografi dengan jumlah kanak-kanak di seluruh dunia dijangka kekal pada angka semasa iaitu 2.3 bilion, namun akan mewakili bahagian yang lebih kecil dalam populasi global yang lebih besar dan semakin menua, iaitu sekitar 10 bilion.
Angka kanak-kanak akan menyusut di kebanyakan rantau tetapi dijangka meningkat mendadak di kawasan termiskin, khususnya di Afrika sub-Sahara.
Ini membuka potensi pertumbuhan ekonomi, namun hanya jika kanak-kanak di rantau tersebut diberikan akses kepada pendidikan berkualiti, penjagaan kesihatan, dan peluang pekerjaan, menurut laporan UNICEF.
Selain itu, daripada aspek perubahan iklim, UNICEF menjangka jika pelepasan gas rumah hijau tidak dikurangkan, kanak-kanak akan menghadapi lapan kali ganda lebih banyak gelombang haba, tiga kali ganda banjir ekstrem dan hampir dua kali ganda kebakaran hutan menjelang 2050 berbanding tahun 2000.
Seterusnya, teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) mempunyai potensi besar untuk mencetuskan inovasi, tetapi turut berisiko melebarkan jurang ketidaksamarataan antara negara kaya dan miskin.
Tambah laporan itu, sebanyak 95 peratus penduduk di negara maju mempunyai akses kepada internet, berbanding hanya 26 peratus di negara kurang membangun, disebabkan kekurangan elektrik, sambungan, atau peranti.
Timbalan Pengarah Penyelidikan UNICEF, Cecile Aptel menegaskan keputusan pembuat dasar hari ini memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan kanak-kanak.
“Walaupun kanak-kanak masa depan menghadapi pelbagai risiko, apa yang ingin kami tekankan ialah penyelesaian ada di tangan pemimpin hari ini,” katanya lagi. -AFP











