Filipina tidak akan sekat ICC jika Duterte mahu disiasat

Filipina tidak akan sekat ICC jika Duterte mahu disiasat

FERDINAND MARCOS JR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Kerajaan Filipina tidak akan menyekat Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) jika bekas Presiden, Rodrigo Duterte mahu disiasat atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan kempen antidadahnya.

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr berkata, walaupun Filipina tidak akan bekerjasama dengan ICC, negara itu mempunyai tanggungjawab dengan Interpol.

“Jika itu kehendak (Duterte), kami tidak akan menghalang ICC. Kami tidak akan bekerjasama, tetapi jika beliau bersetuju untuk disiasat, itu terpulang kepada beliau,” kata Marcos kepada wartawan.

Kenyataan ini dibuat selepas satu sesi pendengaran panjang di Parlimen semalam, di mana Duterte yang menjadi Presiden dari 2016 hingga 2022, enggan memohon maaf atas peranannya dalam kekerasan tersebut dan menggesa ICC untuk memulakan penyiasatan.

Marcos turut berkata, segala keterangan yang diberikan oleh Duterte akan dinilai untuk melihat akibat undang-undang yang mungkin timbul.

Duterte menarik Filipina keluar daripada keahlian ICC pada 2019 selepas mahkamah itu memulakan siasatan awal terhadap ribuan kematian dalam kempen antidadah beliau, namun Duterte pada masa itu mempertikai kuasa ICC untuk menjalankan penyiasatan.

Di bawah pemerintahan Duterte, pihak polis mendakwa mereka membunuh 6,200 suspek pengedar dadah yang menentang penangkapan semasa operasi antidadah mereka.

Namun, kumpulan hak asasi manusia percaya angka sebenar jauh lebih tinggi, dengan ribuan pengguna dan pengedar dadah yang ditembak mati dalam keadaan misteri oleh penyerang tidak dikenali.

Pihak berkuasa pada masa itu menyatakan kematian tersebut adalah pembunuhan oleh sindiket dadah yang membunuh pesaing mereka.

Bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia dan beberapa mangsa mendakwa pihak polis terlibat dalam penutupan sistematik dan pelaksanaan hukuman mati, yang dinafikan oleh polis.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×