JAS cadang sistem pengolahan berpusat - Utusan Malaysia

JAS cadang sistem pengolahan berpusat

Dua kakitangan sebuah makmal bebas melakukan kerja-kerja mengambil sampel air Sungai Kim Kim pada 15 April 2020. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor bercadang mewujudkan sistem pengolahan secara berpusat sebagai pendekatan jangka panjang bagi mengawal pencemaran Sungai Kim Kim dan anak-anak sungai yang bersambungan dengannya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah JAS negeri, Dr. Famey Yusoff berkata, sistem pengolahan kumbahan dan sistem pengolahan efluen perindustrian secara berpusat itu diyakini dapat memastikan sungai terbabit dapat menerima beban pencemaran mengikut had semula jadinya.

“Sekiranya ini tidak dilakukan, kualiti air sungai tersebut tidak akan dapat diperbaiki kerana beban pencemaran yang masuk masih sama atau bertambah sedangkan sungai tersebut tidak mampu lagi untuk menerima beban pencemaran tambahan atau yang sedia ada.

“JAS Johor akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab dalam memastikan keselamatan penduduk setempat berdasarkan bidang kuasa dan peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan, keadaan Sungai Kim Kim dan anak sungainya iaitu Sungai Selangkah tenat ekoran parameter Keperluan Oksigen Biokimia
(BOD) dan Ammonia as N mencatatkan bacaan tinggi.

Malah, analisis dilakukan bersama sebuah makmal bebas ke atas sampel air yang diambil di kedua-dua sungai itu pada 5 Mac lalu turut merekodkan bacaan Escherichia coli atau E. coli berkali ganda dengan Sungai Kim Kim 410,000 CFU/100mL berbanding 400 CFU/100mL untuk sungai dalam kelas IIB.

Sementara itu, Famey berkata, penubuhan JAS Cawangan Pasir Gudang menunjukkan komitmen kerajaan memastikan penguatkuasaan AKAS 1974 terhadap kawasan industri di Pasir Gudang dan Tanjung Langsat dijalankan dengan efektif.

“Untuk jangka masa pendek, JAS akan meningkatkan program penguatkuasaan ke atas punca pencemaran yang tertakluk di bawah akta berkenaan di kawasan Pasir Gudang dan Tanjung Langsat secara amnya dan di sepanjang Sungai Kim Kim khususnya.

“Selain itu, JAS Johor juga telah dan akan meneruskan kerjasama dalam melaksanakan operasi bersepadu untuk memastikan semua pihak mematuhi undang-undang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihakny sentiasa membuat pemantauan melalui stesen pemantauan udara dan sungai dengan maklumat itu dikongsi dan boleh digunakan oleh agensi berkaitan untuk merancang dan memantau situasi di kawasan-kawasan tertentu termasuk di Sungai Kim Kim.

“Untuk menyatakan sesuatu kawasan tersebut selamat atau sebaliknya, perkara tersebut perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Keselamatan Negeri di mana setiap agensi akan memberikan input kepada jawatan kuasa dan JAS Johor juga merupakan ahli yang memainkan peranan berdasarkan bidang kuasa,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×