Motif tukar jantina mengandungi pengajaran

Motif tukar jantina mengandungi pengajaran

BEBERAPA buku sastera mengandungi pelbagai cerita rakyat dan purana dari India dan Buddha berkisah tentang pertukaran jantina.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA menonton filem Hollywood, Bollywood dan Kollywood, kita tentu biasa menyaksikan watak lelaki menyamar sebagai wanita. Cerita rakyat seperti Mulan dari China dan Hikayat Panji Semirang dari Indonesia menampilkan watak wanita yang menyamar menjadi lelaki.

Di sisi lain, ada pelbagai cerita rakyat dan purana dari India mengangkat motif watak lelaki secara literal bertukar menjadi wanita, atau sebaliknya.

Transformasi jantina dalam cerita rakyat India biasanya berlaku secara magis dan selalunya di luar kawalan watak terbabit.

Ada beberapa sebab dan cara pertukaran jantina itu berlaku. Biasanya, pencerita atau penulis ada tujuan tertentu menukar jantina watak dalam cerita. Tujuannya bukan semata-mata menimbulkan kelucuan atau menyuntik unsur komedi dalam cerita.

William Norman Brown (1892-1975) yang merupakan pakar pengajian Asia Selatan serta pensyarah bahasa Sanskrit di Universiti Pennsylvania pernah menghuraikan motif pertukaran jantina dalam cerita rakyat India menerusi tulisan di Journal of the American Oriental Society (1927).

Sumber air seperti sungai, kolam, tasik, telaga dan laut menjadi medium yang membuatkan lelaki bertukar menjadi wanita atau sebaliknya. Satu contoh cerita klasik dalam epik Mahabharata juga ditemui dalam Baudhayana Srauta Sutra.

Raja Rtuparna mengadakan upacara agama tanpa mengundang Dewa Indra. Natijahnya, dewa itu menyumpah raja berkenaan. Apabila Raja Rtuparna mandi dalam sungai, dia bertukar menjadi wanita.

Raja itu kini menggunakan nama Sudevala dan terus memerintah Kerajaan Saphala. Sebagai lelaki, dia ada beberapa anak. Sebagai wanita juga dia ada beberapa lagi anak.

Dewa Indra sengaja membuatkan anak-anak itu berperang sehingga semuanya terbunuh. Maka, lelaki bertukar menjadi wanita adalah satu bentuk hukuman.

Ada pula cerita wanita bertukar menjadi lelaki. Misalnya, dalam koleksi Katharatnakara dan Kathaprakasa. Di sini, pertukaran jantina bukan hukuman tetapi penyelesai masalah.

Misalnya, dua permaisuri mengandung. Mereka berjanji menjadi besan. Akan tetapi, dua puteri dilahirkan. Seorang permaisuri menyembunyikan jantina sebenar puterinya dan dibesarkan sebagai putera.

Apabila dewasa, puteri yang dibesarkan sebagai lelaki mandi di sebuah telaga dan benar-benar bertukar menjadi lelaki sempurna. Maka, perkahwinannya dengan puteri tiada masalah.

Selain pertukaran jantina akibat mandi, pelbagai purana Hindu mengangkat kisah individu bertukar jantina akibat sumpahan dewa-dewi, maharishi atau orang alim.

Salah satu watak demikian ialah Ila yang diceritakan dalam Mahabharata,  Ramayana, Rig Veda, Matsya Purana, Katha Sarit Sagara dan pelbagai teks lain.

Watak itu beberapa kali bertukar daripada wanita (Ila) kepada lelaki (Sudyumma). Dalam proses itu, dia beberapa kali menjadi ibu dan juga bapa.

Dalam cerita rakyat India juga terdapat kisah watak wanita bertukar jantina selepas menerima alat kelamin lelaki daripada makhluk mistik. Misalnya, kisah Shikandini yang saya huraikan dalam buku Ramayana dan Mahabharata (2019).

Puteri itu dibesarkan sebagai lelaki dan dikahwinkan dengan seorang puteri kerajaan lain. Maka, Shikandini bertemu yaksha yang ada kuasa mistik. Makhluk jantan itu meminjamkan alat kelamin miliknya kepada Shikandini yang kemudian dikenali sebagai Shikandi.

Agak menarik bahawa nama Shikandi itulah abang kepada Draupadi dalam Mahabharata kemudian menjadi srikandi dalam kosa kata Melayu.

Satu lagi cara pertukaran jantina berlaku dalam kisah dongeng India ialah apabila watak terbabit memasukkan pil sakti atau gutika ke dalam mulut. Misalnya, watak Muladeva yang turut hadir dalam kisah-kisah Katha Sarit Sagara.

Dalam satu cerita, Muladeva memberi pil kepada seorang putera. Sebaik gutika dimasukkan ke dalam mulut, putera itu bertukar menjadi seorang puteri. Apabila pil dikeluarkan dari mulut, dia kembali kepada jantina asal.

Ada pula cerita rakyat tentang tiga adik-beradik perempuan terpisah daripada suami masing-masing akibat masalah keluarga. Mereka menggunakan pil ajaib untuk bertukar menjadi lelaki.

Tindakan itu supaya mereka boleh hidup dengan selamat tanpa sebarang gangguan daripada lelaki lain. Akhirnya, apabila bertemu semula dengan suami masing-masing, mereka membuang gutika dan menjadi wanita.

Dalam tradisi India, kisah-kisah seumpama ini bukan hanya popular dalam kalangan orang Hindu. Terdapat pelbagai cerita dengan motif sama dalam sastera Buddha.

Misalnya, dalam koleksi Dhammapada, ada kisah tentang lelaki bernama Soreyya yang teruja melihat warna kulit keemasan seorang sami Buddha. Dia terus bertukar menjadi wanita dan melarikan diri ke bandar lain.

Di tempat baharu, Soreyya dikahwini seorang lelaki lalu melahirkan dua anak. Sebelum bertukar jantina, dia juga bapa kepada dua anak. Di hujung cerita, Soreyya kembali bertukar menjadi lelaki.

 

KREATIF

Agak menarik dan menghairankan apabila kita memikirkan bagaimana wujud budaya mencipta cerita mengenai watak yang bertukar jantina. Kalau sekadar lelaki menyamar sebagai wanita atau wanita menyamar sebagai lelaki tidaklah menimbulkan rasa pelik.

Tentulah pada zaman cerita rakyat, dongeng, epik dan purana itu terhasil, belum wujud teknologi pembedahan menukar jantina. Maka, amat menakjubkan bagaimana masyarakat pada masa silam menggunakan imaginasi dan kreativiti untuk membayangkan situasi yang mustahil berlaku pada era itu.

Dalam epik Hindu memang ada banyak kisah lelaki menyamar sebagai wanita. Ada juga lelaki menjadi sida-sida atau eunuk iaitu transgender sepertimana berlaku kepada watak Arjuna dalam Mahabharata.

Ada pula pemuja Dewa Krishna meraikan Raslila, yang mana pengikut lelaki berpakaian seperti wanita untuk menghiburkan dewa itu. Dewa Shiva ada jelmaan  Ardhanarishvara iaitu separuh lelaki, separuh wanita. Dewa Vishnu pula sering menjelma sebagai wanita jelita untuk melengkapkan misi.

Tidak mustahil, kesemuanya menyumbangkan kepada budaya mencipta cerita dengan motif watak bertukar jantina.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×